Jadikan langkah penjimatan agenda nasional - Majlis Alumni UiTM

Bernama
Januari 21, 2015 07:36 MYT
MAJLIS ALUMNI UITM : Jadikan langkah penjimatan agenda nasional - Gambar fail
Langkah-langkah penjimatan menerusi penstrukturan semula Bajet 2015 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam perlu dijadikan sebagai Agenda Nasional oleh rakyat.
Pengerusi Majlis Gabungan Alumni Universiti Teknologi MARA (UITM) Datuk Latt Shariman Abdullah berkata semua pihak daripada unit keluarga kepada jabatan kerajaan dan pihak swasta perlu membantu dalam menjayakan langkah penjimatan itu.
"Langkah penjimatan menerusi penstrukturan semula Bajet memang baik dan bertepatan pada masanya.
Apa yang perlu kita buat adalah 'Austerity Drive' atau langkah-langkah penjimatan itu perlu dijadikan Agenda Nasional oleh semua rakyat," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Kebun Pinang, di sini.
Menurut Latt Shariman, tindakan Perdana Menteri mengumumkan penstrukturan Bajet semalam merupakan suatu bentuk penjelasan yang sistematik tentang apa yang sedang terjadi kepada ekonomi dunia dan tindakan yang perlu diambil.
"Perdana Menteri sudah beritahu apa yang dimaksudkan dengan "Budget Realignment". Kita kena tunjukkan satu semangat "austerity" (berjimat) untuk bersama-sama Perdana Menteri daripada unit keluarga hinggalah kepada jabatan kerajaan dan sektor swasta. Semua kena tolong," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan beberapa langkah proaktif bagi memastikan pertumbuhan dan sasaran defisit negara kekal di landasan yang betul sebagai tindak balas kepada perubahan landskap ekonomi global.
Antara pengumuman itu ialah perbelanjaan pembangunan untuk 2015 akan dikekalkan sepenuhnya tetapi perbelanjaan operasi dijangka dikurangkan sehingga RM5.5 bilion.
Latt Shahriman juga berkata, langkah Perdana Menteri mengumumkan penstrukturan Bajet itu juga tidak bermotifkan politik, sebaliknya adalah untuk mempertahankan kepentingan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Pembangkang yang begitu lantang mengkritik langkah penstrukturan Bajet 2015, perlu sedar bahawa negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan yang diperintah mereka sedang berhadapan pelbagai masalah kritikal, katanya.
"Dia (pembangkang) boleh cerita macam-macam, tetapi dia kena tengok negeri-negeri mereka sendiri.
Masalah parti mereka sendiri pun sehingga kini tidak mampu diselesaikan," katanya.
#agenda #Alumni #bajet #latt #najib #UiTM
;