Jadikan aspirasi bajet realiti kecemerlangan ekonomi 2015 - Reezal

Astro Awani
Januari 1, 2015 13:14 MYT
REEZAL: Jadikan aspirasi bajet realiti kecemerlangan ekonomi 2015 - Gambar fail
Aspirasi Bajet 2015 perlu dijadikan ramuan kecemerlangan arus perdana negara sepanjang tahun demi kelangsungan selari pembangunan ekonomi dunia.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemerosotan pendapatan negara (sekiranya harga minyak mentah terus turun) mestilah ditangani dengan sebaik dan setangkas mungkin.
"Ini bukan masanya untuk kita bersikap sambil lewa dan sinikal. Keperluan rakyat mestilah didahulukan. Ini bukan satu tekad kosong. Ia mesti diisi dengan harapan dan kebijaksanaan yang tepat.
"Bukan kecil ujian jika Malaysia terpaksa menutup buku Rancangan Malaysia Ke-10 tahun hadapan dengan segala macam gugatan ekonomi yang hadir dalam apa sahaja bentuk.
"Kita perlu menyusun strategi lima atau enam tahun yang mendatang ini. Jangan menoleh terlalu jauh ke belakang, atau ketinggalan daripada arus perdana pembangunan ekonomi dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bajet 2015 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober tahun lepas bertemakan "Ekonomi Keperluan Rakyat".
Reezal mengulas situasi ekonomi dunia selain melihat landskap kemerosotan pendapatan negara seandainya harga minyak mentah berterusan menunjukkan penurunan.
Dalam pada itu jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, fungsi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) harus diaktifkan semula dengan seberapa segera khusus bagi memastikan berita dan laporan ekonomi Malaysia lebih tersusun dan strategik sifatnya.
"Jumlah Majlis atau Jawatankuasa di peringkat Kabinet perlu dikonsolidasi semula secara khusus untuk melihat semula realiti ekonomi yang ada di hadapan mata rakyat pada ketika ini.
"Elemen komunikasi strategik mestilah diberikan tumpuan yang khusus. Kita tidak boleh lagi membenarkan pihak lain menentukan cerita ekonomi yang negatif, mahupun berbaur fitnah dan pemusingan fakta dan angka yang berniat jahat.
"Rakyat juga tidak boleh mendapat informasi dan maklumat salah daripada pihak yang tidak ketahuan sumber dan niatnya. Mereka yang menjaga perihal ekonomi negara, mesti bercakap di atas satu ‘suara’ dan bukannya menjaga medan kuasa masing-masing," jelasnya.
Tambahnya, kerjasama Kerajaan persekutuan dan Negeri juga perlu dipertingkatkan demi rakyat.
"Ini bukan masanya mencari gimik politik murahan dengan mencadangkan penyusunan semula Perlembagaan. Yang lebih penting dan utama, meletakkan kepentingan rakyat di para keputusan yang lebih tinggi.
"Untuk mengatakan keadaan ekonomi yang sukar hanya mendatangkan kesan kepada satu-satu kumpulan masyarakat juga adalah tidak benar. Prestasi ekonomi yang merudum pastinya melibatkan banyak pihak. Kesannya pasti terasa hingga ke akar umbi," ujarnya.
Bagaimanapun jelasnya, secara keseluruhan, 2014 bukanlah tahun yang ‘buruk’ buat ekonomi dan iklim pelaburan di Malaysia.
"Ini dibuktikan dengan beberapa pencapaian negara termasuk tempat kelima, IMD World Talent Report 2014 dan tempat ke-18, World Bank Doing Business 2014: Beyond Efficiency.
"Selain itu, kita berada di tangga ketujuh, 2014 Global Infrastructure Investment Index (GIII), tangga ketiga, AT Kearney Global Location Services Index (sebagai antara destinasi outsourcing paling menarik).
"Kita juga antara 20 negara paling mesra perniagaan berdasarkan laporan Business Environment Ranking & Index 2014 dan negara terbaik dalam kalangan ASEAN dari segi pembangunan ekonomi," katanya.
#ASEAN #bajet #ekonomi #Reezal #RMK10 #UMNO
;