Jack Ma dilapor 'hilang': Ini fakta penting yang diketahui

Astro Awani
Januari 5, 2021 01:07 MYT
Pihak berkuasa China melancarkan siasatan antimonopoli terhadap Alibaba pada penghujung Disember lalu, termasuk meminta Ant Group menyusun semula operasi. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Hartawan yang juga pengasas Alibaba.com dari China, Jack Ma dilaporkan 'hilang' selepas mengkritik sistem kewangan China secara terbuka hujung tahun lalu.
Sebelum ini, beliau mendesak supaya kerajaan China melakukan perubahan serta pembaharuan terhadap sistem kewangan republik berkenaan.
Sehingga kini, sudah lebih dua bulan Ma yang dipantau kerajaan China kerana tindakannya itu, tidak kelihatan atau membuat kemunculan di khalayak ramai.
Keadaan itu mencetuskan spekulasi yang mengatakan bilionair China itu 'hilang'.
Malah, beberapa portal berita antarabangsa turut melaporkan 'kehilangan misteri' Ma itu sejak minggu lalu.
Bagaimanapun, terbaharu wartawan dan penyampai CNBC, David Faber, pada Selasa, melaporkan Ma tidak hilang seperti yang diperkatakan banyak pihak.
"Beliau sengaja mengurangkan penampilan umum. Keadaan itu akan berlarutan untuk beberapa lama.
BACA: Jack Ma derma RM58.92 juta bangunkan vaksin koronavirus
BACA: 'Falsafah 669' Jack Ma cetus kontroversi terbaharu
BACA: Yayasan Jack Ma dan Alibaba umum sumbangan kepada empat negara Asia Tenggara
"Beliau mungkin tidak muncul, tapi bukan hilang. Beliau tidak ditangkap, belum ditangkap," dakwanya yang kerap melaporkan berita mengenai Ma dan perniagaannya sebelum ini.
Faber yang memetik sumber mendakwa, tindakan ahli perniagaan itu berpunca daripada pemantauan yang sedang dilakukan kerajaan China terhadap Alibaba dan satu lagi entiti perniagaan miliknya, Ant Group.
Ini antara fakta yang diketahui buat masa ini:
  1. Jack Ma tidak muncul sebagai juri dalam episod akhir sebuah program realiti televisyen miliknya, Africa's Business Heroes.
  2. Beliau digantikan dengan seorang lagi eksekutif Alibaba dalam program yang disiarkan pada penghujung November lalu.
  3. Wajahnya turut dipadam dari disiarkan dalam laman web tersebut.
  4. Salah satu entiti perniagaan miliknya, Ant Group kini dalam pemantauan kerajaan China susulan kenyataan kontroversi yang disampaikan Jack Ma pada 24 Oktober lalu.
  5. Jack Ma mengkritik sistem kewangan di China yang bersifat tradisional, sekali gus berpendapat perlu diwujudkan sistem baharu yang mesra golongan muda.
  6. IPO Ant Group telah digantung atas alasan beberapa isu melibatkan persekitaran pengawalseliaan teknologi kewangan.
  7. Pihak berkuasa China melancarkan siasatan antimonopoli terhadap Alibaba pada penghujung Disember lalu, termasuk meminta Ant Group menyusun semula operasinya.
  8. Tweet terakhir Jack Ma adalah pada 10 Oktober lalu.
#Jack Ma #perniagaan #Ant Group #Alibaba #bilionair China #kerajaan china #Jack Ma hilang
;