ISWC 2024: Strategi holistik menuju persaraan bermakna
Shaznina Rozman
Jun 4, 2024 14:20 MYT
Jun 4, 2024 14:20 MYT
KUALA LUMPUR: Penuaan penduduk adalah satu fenomena global yang semakin ketara di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran ini.
Ringkasan AI
- Penuaan penduduk menjadi cabaran global, termasuk Malaysia, yang perlu bersiap menghadapi kesannya.
- Peningkatan 10% penduduk warga tua boleh menurunkan KDNK dan kutipan cukai masing-masing 10%.
- Malaysia perlu merancang strategi holistik dari pelbagai dimensi untuk menyokong ekonomi menghadapi cabaran penuaan penduduk.
Ketua Jabatan Polisi dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff berkata, Malaysia perlu mempersiapkan diri dengan sewajarnya dalam mendepani kesan penuaan ini.
"Menurut bukti di peringkat global, setiap peningkatan 10 peratus dalam kalangan penduduk warga tua, ia akan mendorong 10 peratus penurunan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Manakala, penyusutan 10 peratus dalam kewangan warga emas akan mengakibatkan 10 peratus penurunan dalam kutipan cukai,
"Ini menimbulkan masalah besar seperti siapa yang akan bertanggungjawab untuk menyokong kewangan negara selepas ini?," katanya.
Tambah Balqais, keperluan dan corak penggunaan kewangan warga emas juga akan mengalami perubahan besar.
Oleh itu, Malaysia perlu meneliti masalah ini dari pelbagai dimensi, termasuk politik, sosioekonomi, dan sosial.
Katanya, negara perlu merancang strategi dan pelan tindakan yang holistik untuk menyokong ekonomi negara dalam menghadapi cabaran ini.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual oleh Astro AWANI di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024.
Persidangan tahunan ini berlangsung pada 4 & 5 Jun dengan tema “Ageing and Longevity: Towards a Meaningful Retirement.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Farizan Kamaluddin berkata, persidangan ini mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang persaraan, kewangan dan penjagaan kesihatan untuk berkongsi amalan terbaik dari negara-negara lain yang boleh dijadikan contoh kepada Malaysia.
"Untuk mengatasi cabaran ini juga, adalah penting untuk mengambil tindakan yang sesuai di peringkat individu dan negara," tambahnya.
Dengan analisis dan adaptasi penyelesaian yang sesuai, Malaysia dapat mempersiapkan diri menghadapi cabaran penuaan penduduk dengan lebih berkesan.