ISWC 2024: Mengimbangi penyelesaian kewangan jangka pendek dan panjang
Shaznina Rozman
Jun 5, 2024 19:00 MYT
Jun 5, 2024 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengenalan Akaun Fleksibel oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk menangani masalah kewangan jangka pendek termasuk kecemasan kesihatan yang memerlukan penyelesaian segera.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn, penekanan pada penyelesaian struktur jangka pendek ini membolehkan pencarum untuk mengurus kewangan mereka dengan lebih berkesan dalam semua aspek kehidupan.
"Tidak ada gunanya memikirkan jangka panjang jika isu jangka pendek tidak dapat ditangani.
"(Sebagai contoh) isu jangka panjang seperti bersara dalam 20 atau 30 tahun akan datang menjadi susah kerana tidak mampu menampung isu jangka pendek dalam penjagaan kesihatan kerana tidak mampu membiayai keperluan tersebut," kata beliau semasa di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024.
Tanpa asas kukuh dalam mengurus isu-isu jangka pendek, maka usaha untuk merancang masa depan tidak akan mencapai matlamatnya, katanya.
Zulqarnain berharap melalui penstrukturan ini, pemahaman dan kesedaran mengenai kepentingan merancang kewangan dapat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat.
Pada masa sama, Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Norma Mansor berkata, pelaburan dalam perkhidmatan sosial bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Apabila wanita, anak-anak diberi peluang untuk bekerja melalui fleksibiliti pekerjaan dan perkhidmatan sokongan sosial, mereka akan dapat menyumbang kepada produktiviti ekonomi," katanya.
Katanya, ini menunjukkan bahawa kesejahteraan sosial merangkumi kesihatan dan kebajikan rakyat yang menjadi asas penting untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.
Langkah ini juga dilihat sebagai langkah inovatif untuk memastikan kewangan individu dapat diurus dengan lebih baik tanpa mengabaikan keperluan masa depan.
Persidangan ISWC 2024 berlangsung pada 4 dan 5 Jun dengan tema “Ageing and Longevity: Towards a Meaningful Retirement”.
Acara tahunan ini meraih kehadiran lebih 800 delegasi secara fizikal serta 1,000 secara atas talian, dan turut dijayakan bersama 19 rakan kongsi serta 25 penceramah tempatan serta antarabangsa.