Isu KR1M: Kerajaan hanya akan jadi perunding
Arfa Yunus
November 21, 2018 12:21 MYT
November 21, 2018 12:21 MYT
Kerajaan hanya akan bertindak sebagai perunding dalam isu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 bersama rakan-rakan kongsi strategiknya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen, berkata ini bagi mengelakkan kerajaan daripada menanggung beban kos berlebihan.
Ketika ini, hanya terdapat dua rakan strategik KR1M, namun menurut Chong, rakan strategik KR1M akan ditambah dari semasa ke semasa bagi mengelakkan monopoli oleh mana-mana pihak.
Tambahnya, syarikat peruncitan yang dipilih adalah berdasarkan kaliber dan situasi kewangan mereka yang kukuh.
"Pihak kementerian juga dari semasa ke semasa akan melakukan proses perundingan dan mengambil kira pandangan serta maklum balas daripada pihak-pihak relevan bagi menentukan (harga) barangan-barangan yang akan ditawarkan dan dimasukan ke dalam inisiatif baru ini," katanya.
Chong berkata demikian semasa menjawab soalan lisan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput (Pakatan Harapan) S. Kesavan.
Kesavan meminta kementerian itu menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi mencapai objektif KR1M agar dapat memberi jaminan terhadap penawaran harga murah dan tiada monopoli oleh mana-mana pihak.
Inisiatif KR1M dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu pada Jun 2011 namun dihentikan pada Oktober 2017.
"Ia (KR1M) dihentikan pada 2017 setelah mendapati objektif penubuhannya tidak berkesan yang mana telah menelan perbelanjaan RM300 juta untuk diwujudkan," kata Chong.
KR1M dilancarkan semula sebagai KR1M 2.0 pada Februari 2018 bersama dua rakan strategik dimana dua syarikat ini akan membekalkan harga berpatutan untuk beras, minyak masak, gula dan tepung.
Selain itu, bagi 50 produk lain, kedua-dua syarikat ini akan menjual barangan dengan harga kompetitif.
#Barisan Nasional
#Chong Chien Jen
#Kedai Rakyat 1Malaysia
#kerajaan
#KR1M 2 0
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#S Kesavan
#Sungai Siput