Isu kekurangan tenaga kerja asing harus diselesaikan segera
Haikal Raman
Oktober 28, 2022 21:08 MYT
Oktober 28, 2022 21:08 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) terus membawa pelbagai isu penting dalam memulihkan ekonomi serta memperkasakan rakyat khususnya bagi mendepani krisis global yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Penekanan tersebut turut melibatkan isu kekurangan tenaga kerja asing terutamanya dalam industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang boleh menjejaskan serta merencat proses pemulihan negara.
Peniaga tudung, Zawiah Othman berkata, dia mengharapkan pihak berkuasa dapat melihat situasi ini sebagai perkara yang serius bagi membantu peniaga-peniaga sepertinya.
“Masalah tenaga kerja juga perlu diambil perhatian kerana orang tempatan tidak berminat untuk bekerja seperti ini, malah ada yang hanya datang kerja sehari sekali gus ia menyukarkan kami para peniaga.
“Yang sanggup bertahan dan bekerja lama adalah warga asing, namun kita berdepan dengan kesukaran untuk mendapat tenaga kerja mereka khususnya selepas pembukaan semula ekonomi ketika ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
Peniaga herba tradisional Cina, Lim Beebee turut senada, dalam tempoh untuk menaikkan semula perniagaan ketika ini dia perlu mengambil pekerja asing untuk membantu kerja-kerja di kedai.
“Sekarang ini agak sedikit sukar untuk mendapatkan sumber tenaga kerja terutamanya warga asing.
“Justeru itu, saya mengharapkan untuk pihak berkuasa melakukan sesuatu supaya kami boleh mendapatkan lebih banyak pekerja sekali gus dapat membantu dalam meningkatkan perniagaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut peniaga kedai makan yang mahu dikenali sebagai Shyam, pihak terlibat perlu melihat semula prosedur yang rumit bagi mendapatkan pekerja asing selain memilih untuk melakukan permohonan secara manual atau bersemuka dengan pegawai kerana dirasakan lebih mudah.
“Saya mengharapkan prosedur permohonan boleh dipermudahkan, tidak rumit dan dipercepatkan… sekarang ini kita perlu menunggu lama dan sistem aplikasi secara online kadang kala menyukarkan kerana sering berlaku ‘error’ dan sebagainya.
“Bagi jumlah pekerja yang diluluskan atau diberikan, saya minta untuk disediakan sama dengan bilangan yang kami pohon kerana jumlah tersebut diperlukan untuk melancarkan operasi perniagaan,” jelasnya.
MPN telah mengemukakan beberapa syor bagi menangani masalah ini termasuk penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja dalam PMKS di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi meneliti secara terperinci permasalahan pengambilan pekerja asing serta jalan penyelesaian dengan kadar segera.