Isu dana 'startup' antara fokus #MyAPEC2020
Harits Asyraf Hasnan
Disember 24, 2019 18:01 MYT
Disember 24, 2019 18:01 MYT
Isu dana pemula (startup fund) bagi memperluas ekonomi digital bakal menjadi antara fokus Malaysia selaku tuan rumah kepada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sepanjang 2020.
Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sufian Jusoh berkata isu tersebut membelenggu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam meluaskan perniagaan mereka.
"Seperti di Malaysia, dana pemula terlalu kecil. Contohnya, dana daripada Cradle, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dana-dana kementerian, ia masih kecil iaitu sekitar RM50,000 ke RM300,000.
"Apabila syarikat ini ingin berkembang, maka mereka perlu mendapatkan dana yang lebih besar. Itu adalah cabaran yang dihadapi syarikat-syarikat 'start up' di Malaysia yang ingin berkembang," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Tambahnya lagi, antara kekangan kepada IKS dalam memperluaskan perniagaan melalui ekonomi digital adalah akses internet yang masih belum sempurna dengan kelajuan jalur lebar yang tidak memadai.
"Contohnya, di sesetengah tempat, akses kepada intenet masih agak kurang. Jika dibandingkan jalur lebar Malaysia dengan Singapura, Malaysia masih di bawah serta tidak kempetatif.
"Apabila kita tidak mendapat jalur lebar secukupnya, akan berlaku kelemahan dari segi penggunaan digital teknologi itu sendiri," jelasnya.
Justeru, Malaysia yang memegang kepengerusian APEC 2020 perlu menggunakan platform global itu untuk mencari mekanisma memperluaskan ekosistem ekonomi digital di negara ini, katanya.
Memetik Laporan Polisi Ekonomi APEC 2019: Reformasi Struktural dan Ekonomi Digital, perbezaan dalam keutaamaan berkaitan ekonomi digital menjadikan ia cabaran terbesar anggota ekonomi APEC dalam mewujudkan satu definisi ekonomi digital yang menyeluruh.
Laporan Polisi Ekonomi itu diterbitkan pada awal minggu ini dan menjadi landasan kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC (AIDER) tahun hadapan oleh Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Digital (DESG) dibawah APEC.
#AIDER
#APEC
#ekonomi digital
#IKMAS
#Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik
#MyAPEC2020
#Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC
#Prof Dr Sufian Jusoh
#Reformasi Struktural dan Ekonomi Digital
#UKM