Isu bekalan cip: Jualan Proton pada April merosot
Bernama
Mei 6, 2022 18:29 MYT
Mei 6, 2022 18:29 MYT
KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) kekal berhati-hati terhadap kapasiti pengeluarannya di tengah-tengah isu bekalan cip dan tekanan daripada peningkatan kos dalam industri kereta global, kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah.
Bagaimanapun, Roslan berkata pengeluar kereta nasional itu memperoleh bekalan cip bagi Mei dan Jun dan menjangkakan pemulihan pantas dalam beberapa bulan akan datang berikutan bulan yang sukar pada April.
"Keadaan masih tidak menentu sepanjang tahun ini dan industri kereta berada di bawah tekanan daripada peningkatan kos, namun syarikat sedang mengusahakan langkah untuk mengatasi isu ini bagi memastikan pelanggan kami mendapat produk dan nilai terbaik di Malaysia dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun usaha terbaik dilakukan untuk memulihkan kekurangan dalam pengeluaran pada suku pertama, April terbukti menjadi satu lagi bulan yang mencabar kerana isu bekalan cip terus mengehadkan bilangan kereta yang dijual, menurut kenyataan itu.
"Selepas dua tahun jualan terjejas akibat pandemik, pasaran automotif Malaysia terus menunjukkan potensi pertumbuhan yang kukuh pada 2022, dibuktikan dengan senarai menunggu yang panjang untuk penghantaran kereta baharu.
"Proton dengan sedaya upaya memenuhi permintaan pasaran, tetapi kami juga mesti mengakui yang kami paling terjejas oleh isu bekalan cip," katanya.
Jualan untuk bulan April merosot 41 peratus kepada 8,839 unit berbanding setahun sebelum itu, dan turun 32 peratus berbanding bulan Mac.
Jualan eksport bagi bulan April pula berjumlah 456 unit, "angka yang turut terjejas oleh isu bekalan alat ganti", kata syarikat itu.
Jualan eksport tahun hingga kini berjumlah 1,573 unit, meningkat sebanyak 109.7 peratus berbanding empat bulan pertama pada 2021.
Pakistan merupakan pasaran eksport terbesar dengan 1,050 unit, diikuti dengan Mesir dan Brunei sebanyak 172 dan 138 unit masing-masing.
-- BERNAMA