Iskandar Capital umum projek Skim Perumahan Pelbagai Pendapatan bagi B40, M40 di Iskandar Puteri

Kenyataan Media
Februari 10, 2022 22:02 MYT
Projek sulung MIH akan mula dibina pada tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2026. - Gambar/Iskandar Investment
ISKANDAR Capital Sdn. Bhd. (IskCap) hari ini mengumumkan Skim Perumahan Pelbagai Pendapatan (MIH) bersempena Majlis Pertukaran Dokumen di Iskandar Puteri.
Majlis telah dirasmikan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan) selaku wakil Kerajaan Negeri Johor. Projek MIH dibangunkan di Wawari, pembangunan mampan seluas 3,000 ekar yang akan dibangunkan oleh IskCap.
Dalam ucapannya, Mohammed Ridha menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Johor dan sektor swasta dalam merealisasikan agenda negeri Johor. "Bagi pihak kerajaan negeri, saya amat mengalu-alukan dan berbangga dengan inisiatif Kumpulan IIB yang memahami aspirasi Kerajaan Johor dan memulakan projek inklusif serta mampan melalui Skim Perumahan Pelbagai Pendapatan di Wawari, Iskandar Puteri ini." Beliau menambah, “Pembangunan infrastruktur mesti diseimbangkan dengan pembangunan sosial terutama yang melibatkan pembangunan bakat, penciptaan pekerjaan dan transformasi minda bagi menyediakan rakyat Johor untuk menghadapi pembangunan masa hadapan. Projek MIH adalah contoh terbaik di mana sebuah projek memastikan pembangunan holistik dan kehidupan harmoni masyarakat bersepadu di ambil kira.”
Selaras dengan ulasan wakil Kerajaan Negeri Johor, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad Datuk Khairil Anwar Ahmad yang juga Pengerusi IskCap berkata, “Skim MIH adalah satu model yang menggalakkan pembinaan perumahan yang adil, saksama, inklusif dan mampu milik untuk semua peringkat pendapatan di negeri Johor. Melalui inisiatif ini, golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) boleh menjadi jiran dan tinggal dalam satu komuniti. IskCap komited untuk terus menyokong Kerajaan Negeri dalam menjaga kepentingan masyarakat setempat dan meningkatkan bilangan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Johor.”
Inisiatif MIH bertujuan meminimumkan jurang sosial dengan mewujudkan kepelbagaian komuniti di mana semua lapisan masyarakat hidup harmoni dalam satu komuniti bersepadu, dihubungkan oleh elemen hijau dari aspek infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan.
Inisiatif MIH turut menawarkan fasiliti penting untuk memudahkan mobiliti dan mempunyai elemen kelestarian seperti penuaian air hujan, panel solar, landskap hijau dan pokok kanopi serta pengurusan sisa.
Usaha ini adalah hasil integrasi bersama Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), atau juga di kenali sebagai Value Homes (VH) dan Value Plus Homes (VPH).
Projek ini memberi tumpuan kepada sasaran pasaran yang lebih luas iaitu dari golongan yang pendapatan rendah hingga sederhana. Projek sulung MIH ini ditempatkan secara strategik bersebelahan Kolej Malborough Malaysia dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Shiya Development Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemilikan Bumiputera sepenuhnya.
Selain itu, majlis hari ini turut menyaksikan kerjasama IskCap dengan empat buah syarikat iaitu, Marquis Oil Sdn. Bhd, Universiti Putra Malaysia, Awana Asia Sdn. Bhd. dan Geo Sense Sdn. Bhd. yang melibatkan inisiatif peningkatan kebolehidupan dan pengukuhan aktiviti pertanian bagi menyokong agenda keselamatan makanan negeri Johor.
Projek sulung MIH akan mula dibina pada tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2026.
Iskandar Investment Berhad
Iskandar Capital Sdn Bhd (IskCap)
#Iskandar Puteri #Iskandar Investment #Mohamed Ridha Abd Kadir #Iskandar Capital Sdn Bhd
;