Isi rumah di Malaysia miliki akses tinggi kepada bekalan asas
Bernama
Oktober 31, 2023 16:46 MYT
Oktober 31, 2023 16:46 MYT
PUTRAJAYA: Isi rumah di Malaysia mempunyai akses yang tinggi kepada bekalan air paip dan elektrik di kediaman, menurut Laporan Survei Kemudahan Asas yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Laporan itu memaklumkan, pada 2022, peratusan akses kepada air paip di tempat kediaman adalah pada 96.7 peratus manakala akses isi rumah terhadap bekalan elektrik ialah 99.7 peratus.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan susulan penerbitan laporan itu berkata dapatan berkenaan memperlihatkan hampir 98 peratus isi rumah Malaysia tinggal berdekatan institusi kesihatan awam dengan jarak kurang dari lima kilometer.
Beliau berkata peratusan akses isi rumah kepada sekolah rendah dan menengah dengan jarak kurang dari lima kilometer masing-masing pada 98.5 dan 95.3 peratus manakala peratusan akses isi rumah kepada tadika awam dengan jarak berkenaan pula ialah 97.4 peratus.
Mohd Uzir berkata pada 2022, peratusan pemilikan rumah oleh isi rumah di Malaysia adalah sebanyak 76.5 peratus manakala peratusan isi rumah mendiami kediaman yang disewa sebanyak 20.3 peratus.
-- BERNAMA
#isi rumah di Malaysia
#Laporan Survei Kemudahan Asas
#Jabatan Perangkaan Malaysia
#Mohd Uzir Mahidin