Iris Corp raih kontrak sistem imigresen NIIS RM1.16 bilion
Astro Awani
Januari 29, 2021 18:28 MYT
Januari 29, 2021 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Iris Corporation Bhd hari ini mengumumkan telah meraih kontrak membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu National (NIIS) untuk Jabatan Imigresen Malaysia kerajaan bernilai RM1.159 bilion.
Menerusi satu makluman di Bursa Malaysia, syarikat teknologi itu memaklumkan bahawa anak syarikatnya Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) telah menerima Surat Tawaran Projek (LOA) bertarikh 29 Januari 2021 daripada Kementerian Dalam Negeri untuk membangun dan membekalkan sistem imigresen.
Tempoh kontrak tersebut ditetapkan selama 54 bulan bermula 1 Mac 2021 sehingga 31 Ogos 2025.
Makluman itu turut menyebut bahawa projek tersebut akan menyumbang kepada pendapatan Iris Corp sepanjang kontrak itu berlangsung.
Menurut laporan, syarikat itu pada tahun lepas menyatakan hasrat untuk memperkasakan kedudukannya dalam pengeluaran kad pengenalan diri pada peringkat global.
Pada 7 September lalu, Iris Corp menerima Surat Niat (LOI) daripada India Security Press untuk membangun sistem operasi bagi pengeluaran e-pasport India.
Syarikat tersebut juga terlibat dalam pengeluaran pasport biometrik pertama di dunia untuk Malaysia pada 1998.
#Imigresen
#Kementerian Dalam Negeri
#Iris
#Iris Corp
#Iris Corporation Berhad
#IITS
#Iris Information Technology Systems Sdn Bhd
#sistem imigresen
#pasport