IPP Malaysia naik 6.1 peratus pada April - DOSM

Bernama
Jun 10, 2024 16:10 MYT
Mohd Uzir berkata pertumbuhan IPP semakin pesat pada April selepas mencatat 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif selama empat bulan berturut-turut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia terus meningkat sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun pada April 2024, didorong oleh pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ringkasan AI
  • Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun pada April 2024, menunjukkan pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi.
  • Pertumbuhan IPP pada bulan tersebut adalah yang tertinggi sejak September 2022, disokong oleh pengembangan merentasi semua sektor, termasuk sektor pembuatan, perlombongan, dan elektrik.
  • Pertumbuhan pembuatan kok, produk petroleum bertapis, produk kimia, dan perabot turut menyumbang kepada peningkatan IPP, sementara sektor perlombongan didorong oleh pengeluaran gas asli, minyak mentah, dan keluaran kondensat. Prestasi IPP bagi Januari hingga April 2024 juga menunjukkan peningkatan yang baik.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP semakin pesat pada April selepas mencatat 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif selama empat bulan berturut-turut.
IPI April juga menandakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak September 2022, disokong oleh pengembangan merentasi semua sektor pada bulan tersebut.
Pengeluaran sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.9 peratus manakala sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan kukuh 10.0 peratus dan sektor elektrik kekal stabil pada kadar 7.6 peratus.
"Peningkatan dalam output pembuatan pada April 2024 disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam industri berorientasikan eksport iaitu sebanyak 2.6 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.
"Kenaikan tersebut diteraju terutama oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis, dan pembuatan kimia dan produk kimia yang mencatat peningkatan masing-masing sebanyak 5.9 peratus dan 5.0 peratus," katanya.
Selain itu, beliau berkata pembuatan perabot juga mengalami lonjakan sebanyak 13.1 peratus pada bulan berkenaan.
"Pengembangan tahun ke tahun ini adalah selari dengan prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 7.1 peratus pada April 2024 dan perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport turun 11.6 peratus berbanding pertumbuhan 11.0 peratus pada Mac 2024," katanya.
Sementara itu, industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatat 9.5 peratus berbanding 3.1 peratus pada Mac 2024, terutama didorong pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 20.2 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.
Mohd Uzir berkata lonjakan 10 peratus dalam sektor perlombongan dipacu oleh pertumbuhan dua angka sebanyak 14.9 peratus dalam pengeluaran gas asli manakala minyak mentah dan keluaran kondensat meningkat semula sebanyak 3.5 peratus.
Prestasi IPP bagi tempoh Januari hingga April 2024 bertambah baik sebanyak 3.9 peratus berbanding 1.3 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.
"Pada tempoh berkenaan kesemua sektor mencatat pengembangan iaitu indeks perlombongan, indeks pembuatan dan indeks elektrik," katanya.
-- BERNAMA
#DoSM #IPP Malaysia #sektor pembuatan #ekonomi malaysia
;