IPP Malaysia meningkat 4.7 peratus pada Disember 2016

Bernama
Februari 10, 2017 14:37 MYT
Produk petroleum adalah antara subsektor utama yang mencatatkan peningkatan pada Disember 2016. - Gambar hiasan/jpdc.gov.my
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat sederhana sebanyak 4.7 peratus pada Disember 2016, berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan berkata peningkat itu disokong oleh pertumbuhan positif dalam kesemua indeks iaitu pembuatan (4.3 peratus), perlombongan (5.8 peratus) dan elektrik (6.1 peratus).
Keluaran sektor pembuatan meningkat 4.3 peratus pada Disember selepas mecatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 6.5 peratus pada November 2016.
Subsektor utama yang mecatatkan peningkatan pada Disember 2016 terdiri daripada produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.7 peratus), produk elektrik dan elektronik (5.3 peratus) serta makanan, minuman dan tembakau (8.8 peratus).
Jabatan itu berkata keluaran sektor pelombongan mencatat pertumbuhan tinggi sebanyak 5.8 peratus pada Disember 2016, selepas peningkatan 4.7 peratus pada November 2016.
"Pertumbuhan dalam indeks gas asli (12.7 peratus) dan indeks minyak mentah (0.1 peratus) menyumbang kepada peningkatan itu," katanya.
Keluaran sektor elektrik meningkat 6.1 peratus pada Disember 2016, susulan perkembangan 9.7 peratus pada November 2016.
-- BERNAMA
#elektrik #Getah #Indeks Pengeluaran Perindustrian #IPP #Jabatan Perangkaan #petroleun
;