IPP Malaysia meningkat 4.1 peratus pada Mei 2022, dipacu pengeluaran produk E&E - DOSM
Bernama
Julai 8, 2022 13:35 MYT
Julai 8, 2022 13:35 MYT
KUALA LUMPUR : Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan IPP ini disumbangkan oleh sektor pembuatan dan elektrik, dengan masing-masing merekodkan peningkatan 6.9 peratus dan 2.8 peratus.
Beliau berkata bagaimanapun, sektor perlombongan susut 4.9 peratus.
"Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 1.0 peratus, kesan daripada kejatuhan dalam komponen pembuatan dan perlombongan," katanya dalam kenyataan mengenai IPP Malaysia Mei 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.
Statistik IPP itu terdiri daripada tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.
Menurut jabatan itu, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 6.9 peratus pada Mei 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus pada April 2022.
Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Mei 2022 ialah peralatan elektrik dan elektronik (15.5 peratus), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (12.4 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.2 peratus), tambahnya.
DOSM menjelaskan, pada masa yang sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik (8.7 peratus) dan industri berorientasikan eksport (6.1 peratus).
Ia menambah, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutama oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler serta pembuatan produk pemprosesan makanan.
Sementara itu, peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal di samping pembuatan kimia dan produk kimia, jelas DOSM.
Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan, tambahnya.
Menurut DOSM, bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan susut 1.3 peratus berbanding dengan April 2022 dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutama dalam subsektor produk makanan, minuman dan tembakau selain subsektor produk mineral bukan logam, logam asas serta produk logam yang direka.
Sementara itu, output sektor perlombongan merosot 4.9 peratus pada Mei 2022 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Jabatan itu menambah, penyusutan tersebut dipengaruhi oleh kejatuhan 6.7 peratus dalam indeks minyak mentah dan kondensat serta penurunan 3.6 peratus dalam indeks gas asli.
Indeks perlombongan juga merekodkan penurunan 0.6 peratus berbanding bulan lepas, menurut DOSM.
Ia juga memaklumkan, output sektor elektrik berkembang 2.8 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik merekodkan pertumbuhan 1.5 peratus, jelasnya.
DOSM melaporkan, IPP bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 merekodkan pengembangan 4.4 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut disokong oleh indeks pembuatan (6.4 peratus) dan indeks elektrik (3.0 peratus) namun, indeks perlombongan pula menyusut 2.1 peratus, jelasnya.
-- BERNAMA