IPP Malaysia diunjur terus meningkat bagi bulan-bulan akan datang - Moody's Analytics
Bernama
Mac 12, 2021 18:07 MYT
Mac 12, 2021 18:07 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia diunjurkan meningkat bagi bulan-bulan akan datang, dipacu oleh permintaan luaran yang kukuh terhadap elektronik selain kenaikan harga minyak mentah, menurut Moody's Analytics.
Penyedia alat analisis dan risikan kewangan itu menjelaskan pertumbuhan pengeluaran perindustrian sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada Januari 2021 menunjukkan sektor pembuatan Malaysia berkembang bagi bulan kedua berturut-turut walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19 dilaksanakan.
Firma itu menambah walaupun sekatan tersebut tidak terlalu ketat seperti kali pertama dikuatkuasakan pada Mac 2020, namun penyusutan yang dialami permintaan domestik telah banyak diimbangi oleh pertumbuhan eksport yang kukuh.
"Malaysia telah meraih manfaat daripada kekurangan semikonduktor global dalam sektor automobil, selain syarikat-syarikat utama pembuatan lain di rantau ini.
"Pengeluaran produk getah juga mendorong kenaikan indeks pembuatan, memandangkan permintaan global terhadap sarung tangan getah terus melonjak dalam situasi pandemik," menurutnya dalam laporan analisis 'Malaysia Industrial Production' yang dikeluarkan pada Jumaat.
Moody's Analytics berpandangan susulan penarikan balik PKP yang ketat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor and Pulau Pinang minggu lepas maka, kebanyakan negeri di negara ini kini berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang lebih longgar.
Perjalanan rentas daerah kini dibenarkan sekali gus lebih banyak perniagaan dibenarkan untuk menyambung operasi masing-masing, jelasnya.
Ia menambah bagaimanapun perjalanan rentas negeri masih dikuatkuasakan bagi kebanyakan negeri dan ini akan mengekang perjalanan domestik.
Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar.
Terdahulu, menerusi kenyataan pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan IPP Malaysia berkembang 1.2 peratus pada Januari 2021 berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP itu dipacu oleh indeks pembuatan dengan peningkatan 3.5 peratus bagaimanapun indeks perlombongan dan elektrik masing-masing menguncup 4.5 peratus dan 4.6 peratus.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Januari 2021 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (7.9 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (4.5 peratus) serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.4 peratus), jelasnya.
-- BERNAMA
#IPP
#ndeks Pengeluaran Perindustrian
#Malaysia
#meningkat
#peningkatan
#Moody's Analytics
#pertumbuhan pengeluaran perindustrian