Ipoh destinasi pilihan pelancong China

Astro Awani
Februari 9, 2015 16:27 MYT
ZAMBRY: Peristiwa perjanjian hari ini saya yakin akan dapat terus mengembangkan industri pelancongan negeri Perak.
Negeri Perak dijangka menjadi destinasi pilihan pelancong China, Hong Kong dan Macau apabila sebuah syarikat penerbangan tempatan, Kestrel Airlines Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat penerbangan China.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dengan termeterainya perjanjian MoU di antara Kestrel Airlines Sdn Bhd dan Harmony Harvest Investment Holdings Ltd ini juga akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurut menteri besar, beliau juga yakin strategi yang digunakan kerajaan negeri untuk membawa pelancong luar melalui jalan udara dengan menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah akan membantu meningkatkan industri pelancongan negeri Perak.
“Peristiwa perjanjian hari ini saya yakin akan dapat terus mengembangkan industri pelancongan negeri Perak dengan menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh. Kita menjangkakan sekiranya usaha ini dilaksanakan, ia akan menarik lebih ramai pelancong dari China dan juga daripada Hong Kong, Macau serta kawasan-kawasan yang lain,” kata Zambry kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kestrel Airlines Sdn Bhd dan Harmony Harvest Investment Holdings Ltd di Hotel Syuen di sini hari ini.
Menurut beliau, syarikat dari China ini merupakan sebuah syarikat besar yang terbabit di dalam pelbagai sektor perniagaan dan mereka juga terlibat dalam industri pelancongan.
Ketika ini terhadapa tiga syarikat penerbangan yang beroperasi menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh iaitu Firefly, New Wings dan Malindo Air.
#China #Harmony Harvest #Hong Kong #Kestrel Airlines #Macau #pelancong #Perak #Zambry Abd Kadir
;