iPhone SE Gen 2 pada harga bermula RM1,999 dilancar, tarikh pasaran Malaysia belum diumum
Ibrahim Sani
April 15, 2020 23:17 MYT
April 15, 2020 23:17 MYT
Apple mengumumkan iPhone SE Generasi Kedua (Gen 2), dengan harga yang kompetitif, jika dibandingkan dengan barisan peranti iPhone yang lain.
Beberapa tahun lalu, iPhone SE Generasi Pertama mula dipasarkan, dan juga ditawarkan pada harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan model lain jenama tersebut.
Bagi kali ini, iPhone SE Gen 2, harga permulaan adalah RM1,999 bagi versi 64GB. Versi 128GB pula adalah RM2,199. Manakala versi 256GB pula adalah RM2,699.
Peranti kali ini didatangkan dengan rekaan klasik iPhone SE asal tetapi dijana dengan cip pemproses Apple A13 Bionic yang digunapakai pada iPhone 11 tahun lalu.
Ia datang dengan hanya tiga warna, iaitu putih, hitam, dan Product Red.
Wabak COVID-19 telah menyebabkan jualan iPhone merudum di serata dunia, tetapi pasaran Asia adalah antara pasaran yang paling terkesan dari segi jualan bagi Apple.
Menurut data dari Reuters, mereka melaporkan bahawa jualan iPhone telah susut 20 peratus pada bulan Februari ini berbanding bulan Februari tahun lepas.
Pasaran terbesar mereka, China, juga telah menyaksikan jualan merudum dan hanya mampu menjual 2.5 juta unit iPhone pada bulan Mac tahun ini.
Pada Februari tahun ini, Apple telah mengumumkan melalui sebuah panggilan telefon bersama pelabur, bahawa mereka tidak akan dapat menepati sasaran jualan mereka bagi tahun ini.
Sebab utama mengapa Apple menawarkan iPhone murah di pasaran Asia adalah untuk memastikan bahawa jualan iPhone terus berlaku, walaupun penularan wabak ini dijangka berterusan sepanjang tahun ini.
Menurut penganalisis, antara sebab iPhone SE dipasarkan di Asia, dari segi logistik dan penghantaran, adalah kerana hampir kesemua iPhone dipasang dan dikilangkan di China, iaitu sebuah pasaran yang paling terkesan akibat wabak COVID-19.
Dengan menumpukan pasaran iPhone SE terbaharu mereka di pasaran Asia, ini memberikan mereka keupayaan untuk meneruskan jualan, dan penghantaran dengan mudah disebabkan pasaran Asia dan China berdekatan.
Tarikh jualan iPhone SE di Malaysia belum diumumkan oleh syarikat teknologi itu lagi.