IPEF sedia platform dialog dengan AS dan rakan Rangka Kerja

Bernama
Mei 23, 2022 16:05 MYT
Mohamed Azmin berkata rakan Rangka Kerja itu akan terlibat dalam rundingan mengenai bidang kerjasama di bawah empat tonggak iaitu perdagangan, rantaian bekalan, tenaga bersih, penyahkarbonan dan prasarana serta cukai dan anti rasuah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF), menyediakan rangka kerja strategik, platform dialog dua hala dan pelbagai hala untuk urusan perdagangan dan pelaburan bagi Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dan rakan Rangka Kerja, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.
Presiden AS Joe Biden akan melancarkan IPEF itu lewat hari ini di samping Malaysia dan negara rakan dagang lain iaitu Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
"Saya optimis kerjasama ini mengiktiraf bahawa kepentingan dasar ekonomi kita di rantau ini adalah saling berkait dan mengukuhkan penglibatan ekonomi dalam kalangan rakan dagang adalah penting bagi pertumbuhan, keamanan dan kemakmuran yang berterusan," katanya dalam ciapannya di laman Twitter beliau hari ini.
Mohamed Azmin berkata rakan Rangka Kerja itu akan terlibat dalam rundingan mengenai bidang kerjasama di bawah empat tonggak iaitu perdagangan, rantaian bekalan, tenaga bersih, penyahkarbonan dan prasarana serta cukai dan anti rasuah.
"Ini akan mengukuhkan kerjasama ekonomi serantau dan (akan ada perkongsian) komitmen berkaitan dengan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, adil, inklusif, saling berkait, berdaya tahan, terjamin dan makmur untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif," katanya.
Biden tiba di Jepun pada Ahad untuk melancarkan IPEF bagi pembabitan ekonomi AS yang lebih meluas dengan rantau Indo-Pasifik dan juga untuk mengukuhkan hubungan dengan Jepun.
-- BERNAMA
#Azmin Ali #Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran #Joe Biden #Amerika Syarikat
;