InvestSarawak, Toyo tandatangani MoU untuk melabur dalam projek tenaga

Bernama
April 22, 2024 05:30 MYT
Perkongsian dengan Toyo adalah bukti komitmen Sarawak untuk menerima sumber tenaga bersih dan mampan yang akan memacu pembangunan ekonomi dan sosial negeri. - Gambar hiasan
KUCHING: Toyo Engineering Corporation Jepun, bersama anak syarikatnya Toyo Engineering and Construction Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan InvestSarawak untuk membolehkan Toyo meneroka potensi pelaburan dalam projek-projek tenaga di Sarawak.
Toyo Engineering dan InvestSarawak dalam satu kenyataan bersama pada Isnin berkata MoU itu menggariskan komitmen kedua-dua pihak untuk mewujudkan rangka kerja bersama yang akan memupuk kerjasama dalam projek-projek tenaga berpotensi yang kritikal kepada inisiatif peralihan tenaga kerajaan Sarawak.
"Inisiatif seperti itu termasuklah membangunkan projek hidrogen hijau, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), projek sisa yang menukar bahan buangan organik kepada tenaga, penyelesaian penyimpanan tenaga yang disimpan ke dalam bateri atau kuasa hidro storan yang dipam dan teknologi grid pintar untuk meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan grid elektrik," kata mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong berkata perkongsian dengan Toyo adalah bukti komitmen Sarawak untuk menerima sumber tenaga bersih dan mampan yang akan memacu pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
"Kerjasama ini akan memanfaatkan pandangan dan kemajuan teknologi Toyo untuk meningkatkan keupayaan kami," katanya.
InvestSarawak merupakan agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, iatu pusat sehenti (OSC) yang dikhaskan untuk menarik pelaburan ke Sarawak sambil memupuk perdagangan dan pembangunan bakat, sejajar dengan wawasan untuk 2030 dan seterusnya.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Kanan merangkap Pengarah Unit Pembangunan Perniagaan dan Unit Pemasaran Toyo Engineering Corp, Casey Takeshi Matsumuro berkata Toyo berbesar hati untuk menyokong cita-cita tinggi matlamat tenaga Sarawak.
"Kerjasama ini membolehkan kami membawa kepakaran dan teknologi kami ke dalam landskap tenaga Sarawak, sejajar dengan misi kami untuk menyumbang kepada pertumbuhan mampan di peringkat global," katanya.
Toyo, dengan rekod prestasi dan kepakarannya dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan perkhidmatan teknikal merentas pelbagai sektor, termasuk minyak dan gas, petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui, membawa pengalaman global dan teknologi inovatifnya ke dalam perkongsian berkenaan.
-- BERNAMA
#Tenaga Boleh Diperbaharui #InvestSarawak #Toyo Engineering #tandatangani MoU
;