Intervensi kawalan harga secara positif bagi melindungi pengguna - Najib

Dania Zainuddin
Mac 8, 2016 18:46 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat bayaran selepas berbelanja setelah melancarkan Kedai Harga Patut, di Pasaraya Sogo hari ini. - Gambar Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan akan melakukan intervensi kawalan harga secara positif supaya pengguna tidak dieksploitasi.
Najib juga berkata langkah perlu diambil supaya peranan sektor swasta kecil dan besar mempunyai peraturan tertentu yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat.
"Kita tidak boleh benarkan keadaan ini wujud, walaupun kita faham kerajaan tIdak boleh dan tidak patut lakukan segala-galanya.
"Kita perlu ambil langkah intervensi secara positif supaya peranan pasaran tidak di sampai peringkat pihak pengguna diekspoitasi oleh mereka," kata Najib dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2016 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Jelasnya, antara langkah yang beliau mahukan adalah memperluaskan rangkaian Kedai Harga Patut di mana dalam ucapan pengubahsuaian bajet 2016, beliau sarankan jumlah Kedai Harga perlu ditingkatkan daripada 640 kepada 1,000 buah kedai.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) sudah berjaya melepasi sasaran tersebut," kata Najib.
Najib juga menyarankan satu logo baharu diwujudkan dan digunakan di luar Kedai Harga Patut supaya pengguna akan mengetahui segala barangan yang dibeli adalah berkualiti dan pada harga berpatutan.
Selain itu, Najib menekankan perkara lain yang patut dilakukan adalah operasi penguatkuasaan ke atas keseluruhan rantaian pengedaran barangan supaya tiada siapa yang boleh menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.
"Tindakan ini perlu diambil supaya denda penalti dan hukuman penjara boleh dikenakan ke atas peniaga yang ingkar dan mengambil kesempatan.
"Kalau kita tidak ambil tindakan, kerajaan akan dipersalahkan. Seolah-olah bila harga barang naik atau harga minyak naik, kerajaan yang salah.
"Tetapi apabila harga minyak turun, tidak pula kata kerajaan baik. Saya nampak tidak adil dalam hal ini," kata Najib.
Turut hadir pada Majlis tersebut adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pada majlis itu, sejumlah 1,238 premis perniagaan di seluruh negara telah dikenalpasti layak menerima anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2016.
"Anugerah ini merupakan satu pengiktirifan KPDNKK kepada peniaga yang sentiasa memastikan kualiti, nilai dan perkhidmatan disediakan memenuhi kehendak dan keperluan pengguna pada harga berpatutan.
"Harga patut ini bermaksud apabila kita membayar sesuatu barangan atau perkhidmatan, kita berasa berpuas hati dengan ketetapan harga tersebut," kata Hamzah pada satu sidang media selepas Majlis tersebut.
Pada masa sama, Hamzah juga menyeru orang ramai untuk membuat aduan jika tidak berpuas hati dengan ketetapan harga oleh mana-mana penjual supaya tindakan lanjut dapat dikenalpasti.
#KPDNKK #Najib Razak #Najib Razak menegaskan kerajaan untuk lakukan intervensi kawalan harga secara positif
;