Intel mungkin jual faundri, batal pembinaan kilang, bagi kurangkan kos

Amanz
September 2, 2024 08:15 MYT
Pat Gelsinger berucap pada satu forum di Taipei, Taiwan, 4 Jun 2024. - Gambar fail/REUTERS
INTEL dilaporkan akan menjual perniagaan faundri serta membatalkan beberapa projek pembinaan kilang mereka sebagai langkah mengurangkan kos operasi syarikat menurut laporan Reuters.
Ini adalah langkah yang dipercayai akan diumumkan oleh CEO Pat Gelsinger kepada lembaga pengarah pada pertengahan bulan nanti.
Kilang fabrikasi cip mungkin dijual kepada TSMC sementara pembinaan kilang di Jerman bernilai $32 bilion dibatalkan bagi mengurangkan perbelanjaan modal syarikat.
Selain itu Altera yang menghasilkan cip yang boleh diprogramkan mungkin turut dijual walaupun baru dibeli Intel sembilan tahun yang lalu.
Tahun 2024 bukan tahun yang baik bagi Intel dengan mereka mengumumkan pembuangan 15,000 pekerja awal bulan lalu untuk mengurangkan kos sehingga $10 bilion.
Isu kerosakan pada cip Intel Core Gen-13 dan Gen-14 juga mendapat perhatian industri kerana mereka perlu mengganti cip pelanggan yang terjejas.
Lantaran dua insiden ini, acara Intel Innovation yang sepatutnya berlangsung dua minggu lagi ditangguh ke 2025.
#Intel #Pat Gelsinger #kerosakan cip #Intel Innovation