Intel Corp labur RM30 bilion bagi pengembangan kemudahan di Malaysia
Bernama
Disember 16, 2021 12:57 MYT
Disember 16, 2021 12:57 MYT
KUALA LUMPUR: Intel Corporation yang juga antara pengeluar cip terbesar dunia, akan melabur lebih RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun ini bagi mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Patrick Gelsinger berkata pelaburan tambahan di negara ini turut melibatkan pengembangan kemudahan ujian pemasangan pembuatan sedia ada selain membangunkan prosedur 'die prep' atau proses sebelum pemasangan dengan penambahan keupayaan pembungkusan yang lebih maju.
Syarikat itu juga merancang untuk mempunyai fasiliti baharu di negara ini bagi membolehkannya menambah jumlah pengeluaran serta meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti, katanya.
"Pembinaan bagi tujuan pengembangan baharu di Kulim dan Pulau Pinang sudah pun dimulakan. Kemudahan baharu yang menyokong teknologi maju pembungkusan itu dijangka mencatat pengeluaran pada 2024," katanya pada sidang media mengumumkan pelaburan baharu tersebut di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman.
Sementara itu, Mohamed Azmin menyifatkan pelaburan Intel itu sebagai hasil kerjasama strategik jangka panjang syarikat itu dengan Malaysia selama 50 tahun manakala kemudahan bertaraf dunia itu akan turut meletakkan negara ini di barisan hadapan sektor semikonduktor dunia.
"Ini turut menjadi bukti keyakinan kukuh Intel terhadap Malaysia selaku hab pelaburan pilihan. Pada masa sama, ia juga menunjukkan peningkatan trajektori pemulihan ekonomi kita serta prospek cerah dari segi pertumbuhan yang memberangsangkan," katanya.
Dalam pada itu, Gelsinger berkata Intel juga komited untuk meneruskan pelaburan serta melakukan inovasi di negara ini dengan pelaburan baharu tersebut dijangka mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan baharu Intel selain lebih 5,000 pekerjaan binaan bagi rakyat tempatan.
"Kami bukannya pemburu sebaliknya hadir di Malaysia untuk mewujudkan ekosistem, komuniti dan perkongsian dengan syarikat pemula niaga di sini bagi membangunkan keupayaan teknologi pasaran Malaysia secara menyeluruh," katanya.
Mengulas kekurangan semikonduktor dunia pada masa ini, beliau berkata keadaan tersebut secara keseluruhannya amat ketara yang menyaksikan Intel dan industri memberi tindak balas dalam bentuk pembangunan kapasiti serta memacu bekalan sepantas mungkin.
Menurutnya, ini penting bagi membolehkan bekalan keseluruhan semikonduktor pada tahun ini berupaya meningkat lebih ketara berbanding dua hingga tiga dekad lepas.
Gelsinger berkata industri semikonduktor berkembang kira-kira 5.0 peratus setahun dengan nilainya mencecah kira-kira US$500 bilion pada tempoh sebelum COVID-19 namun keadaan pandemik berkenaan telah menjejaskan rantaian bekalan.
Permintaan terhadap semikonductor yang melonjak sehingga 200 peratus tahun ke tahun berbanding rantaian bekalan yang telah terjejas itu sebaliknya telah mewujudkan jurang besar bekalan yang perlu ditampung, katanya.
"Saya menjangkakan kekangan dan kekurangan itu akan berterusan sehingga 2023 kerana usaha menghasilkan bekalan serta membina kemudahan baharu akan memakan masa yang lama. Malah, lebih banyak masa diperlukan bagi mewujudkan kapasiti terbabit serta memberi tindak balas terhadap usaha menangani (pandemik)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Gelsinger berkata Intel Corp dijangka mengumumkan mengenai perkembangan membabitkan kemudahan seterusnya di Amerika Syarikat dan Eropah pada awal tahun depan.
Menurutnya, usaha pengembangan di Malaysia merupakan langkah penting dalam strategi menyeluruh syarikat bagi meningkatkan peluang kapasitinya.
-- BERNAMA