Inta Bina dapat kontrak RM160.6 juta, perolehan nilai kontrak belum dibil naik RM1.3 bilion
Bernama
Januari 29, 2022 09:00 MYT
Januari 29, 2022 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Inta Bina Group Bhd, Inta Bina Sdn Bhd (IBSB) telah menerima kontrak pembinaan bernilai RM160.6 juta daripada Sunway Artessa Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama Sunway Bhd.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Inta Bina berkata dengan kontrak tersebut, jumlah perolehan nilai kontrak kumpulan yang belum dibil meningkat kepada RM1.3 bilion.
Kontrak itu melibatkan pembinaan blok pangsapuri 47 tingkat (468 unit) dengan empat tingkat tempat letak kereta bawah tanah dan unit pemaju di atas bumbung.
Pembinaan di Setapak, Kuala Lumpur itu akan mengambil masa 33 bulan untuk disiapkan dari tarikh ia bermula.
Pengarah Urusan Inta Bina Group Bhd, Paul Lim Ooi Joo berkata kumpulan gembira mendapat projek kedua ini daripada Sunway Group dan berharap dapat terus bekerjasama dengan mereka pada masa hadapan.
"Projek pertama kami, Sunway Lenang Heights, telah diserahkan pada suku akhir 2021.
"Dengan pembukaan semula ekonomi dan persekitaran operasi yang semakin reda, kami menantikan tahun yang lebih baik dan telah menetapkan sasaran penambahan perolehan nilai kontrak sebanyak RM800 juta untuk 2022," katanya.
Menurut kenyataan itu, kumpulan menjangkakan kontrak tersebut akan meningkatkan lagi jualan dan pendapatan mereka dalam beberapa tahun akan datang.
-- BERNAMA