Institut penyelidikan TPPA dicadang ditubuhkan
Rahimah Abdullah
Januari 27, 2016 14:42 MYT
Januari 27, 2016 14:42 MYT
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin mencadangkan satu institut penyelidikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditubuhkan bagi memastikan tindakan pro-aktif dalam mengatasi masalah Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan bumiputera.
"Satu institut penyelidikan TPP yang dianggotai pelbagai bidang termasuk pembangkang ditubuhkan untuk melihat tindakan pro-aktif untuk tengok masalah PKS dan bumiputera boleh bersaing di peringkat antarabangsa," katanya semasa berbahas pada Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA di dewan rakyat di sini hari ini.
Ujarnya, institut itu diharap mampu membantu golongan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan dan memasuki pasaran eksport.
"Institut itu juga perlu tengok macam mana ia boleh bantu mereka masuk pasaran eksport," tambah beliau.
Langkah itu katanya penting demi kepentingan bumiputera dan PKS yang menjadi antara penyumbang ekonomi negara.
Sidang Dewan Khas mengenai TPPA disambung hari ini dengan beberapa Ahli Parlimen membahaskan usul yang dibentangkan Mustapa Mohamed semalam.
Difahamkan pengundian dijangka dilakukan pada 4.30 petang ini.
Keputusan mengenai usul TPPA ini akan dibawa ke Dewan Negara esok untuk proses ratifikasi.
Satu usul dikemukakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed iaitu menerima kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan asing, teknologi dan pelancongan.
Usul itu juga mempersetujui penglibatan Malaysia dalam TPPA akan memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.
Ia juga menyokong keputusan Kerajaan bagi Malaysia untuk menjadi sebahagian anggota negara TPPA dengan menandatangani dan meratifikasi TPPA.
Jika TPPA diluluskan, 26 pindaaan akan dilakukan ke atas 17 undang-undang dan peraturan berkaitan TPPA yang melibatkan negeri dan Persekutuan, perlu dipinda dalam tempoh dua tahun.
Selain Malaysia, 11 lagi negara yang terlibat dengan TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam yang memuktamadkan rundingan pada 5 Oktober 2015.
Kali terakhir Parlimen mengadakan persidangan khas, iaitu di luar waktu penggal persidangan, adalah pada 23 Julai 2014, iaitu sidang tergempar bagi membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun sama yang mengorbankan 298 nyawa.