Institusikan pelaksanaan Ekonomi Madani - Penganalisis
Fahmi Izuddin
Ogos 9, 2023 14:11 MYT
Ogos 9, 2023 14:11 MYT
BANGI: Pelaksanaan gagasan Ekonomi Madani yang diluncurkan oleh Kerajaan Perpaduan perlu diinstitusikan dalam memastikan penstrukturan ekonomi negara berada pada landasan yang tepat dan setiap kerangka pelan ekonomi itu tercapai.
Menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali, pasukan khas pemantau dan berdedikasi juga perlu diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertindak sebagai pasukan penggerak Ekonomi Madani.
"Pelaksanaan Ekonomi Madani mesti diinstitusikan. Saya mencadangkan penubuhan sebuah pasukan khas yang berdedikasi dan diberi mandat penuh oleh PM untuk bertindak sebagai pasukan penggerak Ekonomi Madani.
"Ianya mesti dianggotai oleh individu-individu yang berkebolehan dan mempunyai kefahaman yang jelas, diyakini mempunyai kesungguhan dan keikhlasan untuk benar-benar menyaksikan Ekonomi Madani dapat direalisasikan," ujarnya sewaktu sidang media Ekonomi Madani: Mencapai Sasaran yang berlangsung di UKM Bangi hari ini.
Beliau juga menambah, pasukan khas tersebut perlu dianggotai oleh kumpulan individu yang berkebolehan dan mempunyai kefahaman yang jelas untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.
"Pasukan ini mesti bekerjasama dengan semua kementerian yang kekal menjadi perancang dan pelaksana kepada Ekonomi Madani. Pemantauan dan pelaporan yang berkala kepada PM dan perkongsian dengan masyarakat akan lebih meyakinkan komitmen merealisasikan Ekonomi Madani," katanya.
Selain itu, beliau turut berkata pada ketika ini negara sedang berdepan krisis kos sara hidup yang mendesak, namun isu harga barangan yang dianggap melambung bukan faktor mutlak yang menyumbang kepada permasalahan itu.
Sebaliknya, faktor kadar upah yang rendah menjadi punca utama kepada situasi kos sara hidup yang mencabar dan memerangkap masyarakat pada ketika ini.
"Jadi kalau dilihat dari kaca mata global, Malaysia is very cheap, di peringkat global fokusnya kepada harga. Maka, kenapa rakyat Malaysia resah? Bererti broadly harga di Malaysia ini rendah, jadi apa masalah?
"Masalah kita adalah pendapatan, kita perlu berganjak, ini paradigm change daripada tackling the prices, at the end of the day harga paling murah adalah percuma.
"Mustahil untuk percuma, ada individu yang kena ternak, sembelih lembu dan masak. Someone has to do something and expecting the income. Maka masalah kita sebenarnya adalah pada kadar gaji kita yang rendah," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keterujaan dengan konsep Ekonomi Madani oleh Kerajaan Perpaduan, namun secara prinsipnya beliau menginginkan satu bentuk komitmen daripada semua pihak untuk menjayakannya.
"Saya teruja dengan Ekonomi Madani, saya menyokong, cantik dan kemas olahannya. Namun, kerisauan saya ialah adakah kita komited secara ‘whole of nation’ dari pemimpin, pentadbir, sektor awam dan swasta dan rakyat untuk melaksanakannya," katanya lagi.