Institusi tempatan terus sokong Bursa Malaysia bagi minggu ke-15 - MIDF

Bernama
Februari 3, 2025 14:40 MYT
Kelompok pelabur asing juga merupakan penjual bersih bagi setiap hari dagangan dengan Isnin lepas mencatat angka aliran keluar dana terbesar berjumlah RM265.9 juta. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Institusi tempatan terus memberi sokongan terhadap Bursa Malaysia bagi minggu ke-15 berturut-turut dengan mencatat belian bersih RM149.4 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Jumlah itu susut berbanding belian bersih RM551.6 juta yang dicatatkan pada minggu lepas.
Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir pada 31 Jan, 2025, MIDF berkata institusi tempatan turut mengakhiri aliran masuk dagangan bagi 48 hari berturut-turut, mencatat belian bersih dalam dua daripada tiga hari dagangan pada minggu lepas dengan aliran keluar RM37.9 juta pada Jumaat.
Kalangan pelabur runcit turut melanjutkan aktiviti belian di Bursa Malaysia bagi minggu keempat berturut-turut dengan belian bersih ekuiti berjumlah RM353.9 juta -- 2.36 kali lebih tinggi daripada aliran dana dalam minggu sebelumnya.
"Purata nilai dagangan harian menyaksikan penyusutan merentasi papan indeks pada minggu lepas. Pelabur asing mencatat penurunan sebanyak 15.9 peratus manakala institusi dan peruncit tempatan mencatat penurunan masing-masing 25.7 peratus dan 15.4 peratus," katanya.
MIDF berkata kalangan pelabur asing terus menjual ekuiti di bursa tempatan itu bagi minggu ke-15 berturut-turut walaupun angka aliran keluar dana berkurangan kepada RM503.3 juta berbanding RM701.4 juta dalam minggu sebelumnya.
Kelompok pelabur asing juga merupakan penjual bersih bagi setiap hari dagangan dengan Isnin lepas mencatat angka aliran keluar dana terbesar berjumlah RM265.9 juta, katanya.
Pada Selasa dan Jumaat mencatat aliran keluar dana berjumlah masing-masing RM196.9 juta dan RM40.5 juta.
Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk dana bersih adalah perkhidmatan kewangan berjumlah RM38.1 juta, pelaburan million, amanah pelaburan hartanah (RM2.3 juta) dan telekomunikasi serta media (RM1.9 juta).
"Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar dana bersih tertinggi adalah utiliti (RM256.9 juta), hartanah (RM63.3 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM50.1 juta)," katanya.
-- BERNAMA
#MIDF #Bursa Malaysia #ekonomi malaysia #pasaran saham
;