Institusi tempatan kekal pembeli bersih ekuiti bagi minggu ketiga - MIDF
Bernama
Oktober 23, 2023 11:42 MYT
Oktober 23, 2023 11:42 MYT
KUALA LUMPUR: Institusi tempatan terus mengekalkan pendirian sebagai pembeli bersih ekuiti bagi minggu ketiga berturut-turut dengan pembelian bernilai RM618.3 juta di Bursa Malaysia pada minggu lepas, kata MIDF Research.
Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, institusi tempatan terbabit melaksanakan belian bersih setiap hari sepanjang minggu dengan aktiviti belian paling kukuh pada Isnin lepas yang berjumlah RM221.7 juta.
Selain itu, pelabur asing sebaliknya melepaskan pegangan saham bernilai RM613.0 juta pada minggu lepas.
"Pada minggu itu, pelabur asing melakukan jualan bersih setiap hari dengan kebanyakan aliran keluar dana dilihat pada Isnin yang berjumlah RM208.7 juta. Aktiviti jualan itu berlaku selama enam hari berturut-turut," katanya dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 20 Okt, 2023.
Bagaimanapun, MIDF Research berkata, tiga sektor menyaksikan aktiviti belian bersih oleh pelabur asing iaitu utiliti (RM28.5 juta), hartanah (RM20.8 juta) dan amanah pelaburan hartanah (RM5.4 juta).
Sektor dengan aliran keluar bersih tertinggi adalah masing-masing perkhidmatan kewangan (RM337.1 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM100.6 juta) serta telekomunikasi dan media (RM51.4 juta).
Menurutnya, setakat tahun ini, pelabur asing telah melakukan jualan bersih sebanyak RM3.73 bilion.
Dalam pada itu, kalangan peruncit tempatan terus menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia, namun pada jumlah agak sederhana sebanyak RM5.3 juta berbanding RM147.1 juta pada minggu sebelumnya.
Bagi tempoh setakat tahun ini, jualan bersih mereka bernilai RM660.6 juta.
Dari segi penyertaan pula, purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing mencatat peningkatan sebanyak 31.6 peratus manakala penyertaan oleh pelabur runcit dan institusi masing-masing susut sebanyak 2.2 peratus dan 6.7 peratus.
-- BERNAMA