Instagram kemas kini algoritma Reels, utamakan kandungan asli

Amanz
Mei 1, 2024 12:00 MYT
Instagram menyatakan perubahan ini akan memberikan capaian yang sama rata dalam membolehkan kandungan mereka ditonton ramai. -Amanz
INSTAGRAM mengumumkan kemas kini pada algoritma paparan video-video Reels pada platform berkenaan yang mengutamakan kandungan asli berbanding perkongsian kandungan-kandungan yang diambil daripada pihak atau platform lain.
Selain itu, Instagram juga akan mula melabelkan akaun yang berkongsi kandungan lain, dan tidak akan memaparkan Reels mereka sekiranya berkongsi lebih 10 kandungan orang lain dalam tempoh 30 hari terakhir.
Di samping mengutamakan perkongsian asli, pihak Instagram juga akan mula memberikan capaian yang lebih baik kepada akaun-akaun baharu, sekali gus tidak sekadar mengutamakan akaun dengan angka pengikut tinggi sahaja.
Instagram menyatakan perubahan ini akan memberikan capaian yang sama rata dalam membolehkan kandungan mereka ditonton ramai.
Instagram akan memperkenalkan perubahan ini secara berperingkat pada bulan-bulan akan datang.
Buat masa ini, perubahan algoritma ini akan memfokuskan kepada Reels sahaja – apatah lagi dengan Meta menyatakan kini lebih 60% penggunaan adalah memfokuskan kandungan video pada platform mereka. -Amanz
#Instagram #Reels #kandungan asli #perubahan algoritma
;