INSKEN lancar MyNEPT bantu usahawan untuk berjaya - Wan Junaidi

Astro Awani
September 14, 2020 17:53 MYT
Wan Junaidi (kanan) berkata sistem yang dibangunkan INSKEN memberi peluang kepada usahawan mengukur tahap ciri-ciri yang ada pada diri mereka. - Foto MEDAC
Sistem Ujian Psikometrik Usahawan Nasional yang dikenali sebagai MyNEPT diharap mampu membantu usahawan serta bakal usahawan mengenali kecenderungan diri dan ciri-ciri sifat individu untuk menjadi seorang usahawan berjaya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sistem yang dibangunkan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) itu memberi peluang kepada usahawan mengukur tahap ciri-ciri yang ada pada diri mereka selain dapat mempersiapkan para usahawan mendepani cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
"MyNEPT dibangunkan bagi membantu para usahawan mengenali ciri-ciri atau personaliti keusahawanan yang ada pada diri mereka untuk dijadikan sebagai penanda aras kepada tahap keusahawanan sedia ada dengan perbandingan paras nasional dan antarabangsa.
"Usahawan boleh membuat perbandingan skor dengan usahawan tempatan dan global yang telah berjaya. Perbandingan skor ini sudah pasti dapat membantu mereka untuk mengenalpasti penambahbaikan bersesuaian bagi mengembangkan perniagaan sedia ada berdasarkan kedudukan mereka didalam graf dan skor yang dijana oleh MyNEPT," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, sehingga ke hari ini seramai 10,000 usahawan telah mengambil ujian psikometrik MyNEPT dan disasarkan bilangan itu akan melonjak ke 100,000 usahawan dalam masa terdekat.
Terdapat 50 soalan yang wajib dijawab oleh usahawan sebelum keputusan dan laporan psikometrik MyNEPT ini dijana.
Soalan-soalan psikometrik tersebut adalah berdasarkan lima skop analisa yang dikenali sebagai O.C.E.A.N iaitu:
- Openness to experience atau keterbukaan, merupakan ciri personaliti yang gemar mencari pengalaman dan pengetahuan baharu.
- Conscientiousness atau sifat berhati-hati. Ia merangkumi ketelitian, cermat dan berdisiplin.
- Extraversion atau mudah bergaul. Sifat mencari kepuasan dari sumber-sumber di luar diri sendiri atau dalam komuniti.
- Agreeableness atau sifat menyenangkan. Menggambarkan kebolehan individu untuk mengadaptasi dengan persekitaran.
- Neurotisisme di mana kecenderungan individu untuk mengalami emosi negatif seperti marah, bimbang atau kemurungan. Ia juga dikenali sebagai ketidakstabilan emosi.
Usahawan dialu-alukan untuk melayari pautan https://www.mynept.com bagi membolehkan mereka mendapat keputusan ujian psikometrik MyNEPT secara percuma sekali gus mengenal pasti kelemahan sedia ada.
Turut hadir sama pada pelancaran sistem MyNEPT itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek.
Dalam perkembangan berasingan, Wan Junaidi yang menyentuh isu moratorium dilanjutkan sehingga Disember, katanya syarikat yang memerlukan lanjutan tempoh itu perlu berjumpa dengan institusi kewangan.
“Kerajaan juga sudah mengkaji undang-undang berkaitan muflis melalui Akta Kebrankapan (Pindaan) 2017 (Akta A1534) yang berkuat kuasa pada 6 Oktober lalu sejajar usaha membantu rakyat daripada berisiko menjadi muflis pasca COVID-19.
“Pun begitu, terdapat beberapa langkah perlu diambil kira dan perlu dipertimbangkan sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet,” jelasnya.
#INSKEN #Institut Keusahawanan Negara Berhad #Medac #MyNEPT #Sistem Ujian Psikometrik Usahawan Nasional #usahawan #Wan Junaidi Tuanku Jaafar
;