INSKEN catat peningkatan hasil RM5.7 juta, 174 pekerjaan baharu - Noh Omar
Astro Awani
Disember 9, 2021 16:00 MYT
Disember 9, 2021 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menyumbang lebih RM5.7 juta peningkatan hasil jualan serta 174 pekerjaan baharu dicipta melalui program bimbingan komprehensif di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kejayaan INSKEN membuktikan program bimbingan memberi kesan dalam membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan ketika berdepan cabaran COVID-19.
"Dua program bimbingan tersebut adalah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).
"Secara keseluruhan, peningkatan hasil jualan tersebut dicipta 383 usahawan yang terbahagi kepada 214 peserta Program IBBC dan 169 peserta Program E-Board.
"Nilai gandaan yang dijana daripada peruntukan dana untuk melaksanakan kedua-dua program bimbingan ini juga menunjukkan catatan cemerlang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, beliau berucap pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2020/2021.
Turut hadir, Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.
Dalam pada itu jelas Noh, keseluruhan kos perbelanjaan untuk melaksanakan Program IBBC mencecah nilai gandaan sebanyak 4.9 dan 2.3 bagi Program E-Board dijana dalam bentuk peningkatan hasil jualan usahawan.
"Program yang menggunakan pendekatan bimbingan secara one-on-one ini wajar diteruskan serta ditingkatkan frekuensi pelaksanaannya agar lebih ramai usahawan mendapat manfaatnya," ujarnya.
Noh berkata, peserta program INSKEN akan diberikan pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan bantuan pembiayaan dengan agensi lain.
"Manfaat ini merupakan inisiatif kolaborasi antara agensi yang akan diteruskan oleh INSKEN.
"Seramai 214 peserta Program IBBC tamat bimbingan secara one-on-one selama empat bulan adalah usahawan daripada industri kedai gunting rambut, katering, spa, bengkel kereta, food truck, perunding perkahwinan, penyaman udara dan lain-lain servis berkaitan.
"Kesemua peserta program ini yang dibimbing oleh pakar industri mencatat peningkatan jualan keseluruhan melebihi RM5.4 juta dan berjaya menawarkan 174 peluang pekerjaan baharu," katanya.
Sementara itu, Muhd Firdaus berkata, secara keseluruhan, INSKEN melaksanakan 31 Program IBBC dan 10 kohort Program E-Board pada tahun ini dan 15 Program IBBC serta empat kohort Program E-Board masih lagi dalam tempoh pelaksanaan dijangka tamat dalam masa terdekat.
"Kesemua peserta Program IBBC dan E-Board ini dipantau hasil jualannya dengan menggunakan aplikasi IPro iaitu sebuah sistem yang dibangunkan oleh INSKEN.
"INSKEN akan memastikan usahawan mencatatkan data jualan sebelum dan ketika mengikuti program ke dalam sistem itu.
"Tujuannya agar tindakan segera dapat diambil jika terdapat tanda usahawan memerlukan bantuan dan berada dalam kesusahan iaitu seperti penurunan graf jualan bulanan.
Selain itu jelasnya, data itu juga digunakan bagi menilai keberkesanan program terhadap prestasi jualan perniagaan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Klassique Touch Weddings & Events Sdn Bhd, Azizie Azhar yang juga peserta terbaik bagi Program INSKEN Business Coaching 2020: perunding perkahwinan, berkata, pengalaman menyertai program IBBC banyak membantu dirinya untuk meneruskan kelangsungan perniagaan sepanjang pandemik COVID-19.
Dalam nada sama, peserta terbaik bagi Program E-Board 2021, Perunding Pewarisan Harta Islam, Wasiyyah Shoppe Berhad, Norain Abu Bakar menjelaskan, program itu membimbing usahawan membuat transformasi perniagaan ke arah digital dengan memantapkan pemasaran secara dalam talian melalui platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Shopee, Lazada, Telegram dan YouTube.