INSKEN buka peluang kolaborasi bersama pengasas produk

Astro Awani
Ogos 17, 2022 09:45 MYT
Muhd Firdaus menjelaskan, antara syarat kelayakan adalah mempunyai pakej dan sistem dropship, tahap ketersediaan sokongan kepada dropshipper dan bekalan produk sedia ada untuk dijual. - Foto INSKEN
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) terus mengorak langkah dalam memperkasa kerjasama strategik bersama lebih 90 pengasas produk terkenal Malaysia melalui Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, program yang dilancarkan pada September tahun lalu melibatkan seramai 31 pengasas produk sedia ada dan 61 pengasas produk berdaftar sebagai rakan kerjasama baharu.
"Program DNA disasarkan kepada bakal usahawan yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan masih dalam peringkat ingin memahami selok-belok perniagaan bagi mengurangkan risiko kegagalan.
"Justeru, penglibatan pengasas produk yang menawarkan pakej dropship memberi impak signifikan dalam membantu peserta memupuk nilai keusahawanan.
"Hasilnya setakat awal Ogos 2022, seramai 3,611 orang peserta telah menjalani Program DNA dan seramai 2,344 peserta berjaya dipadankan melalui platform DNA Marketplace bersama 31 pengasas produk sedia ada yang berdaftar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA: Insken latih 28,929 usahawan, lonjak hasil jualan - Muhd Firdaus
BACA: Insken bantu usahawan tempuh norma baharu, catat peningkatan jualan RM9.8 juta
Dalam pada itu katanya, program yang diibarat serampang dua mata berkenaan turut memberi manfaat kepada pengasas berkenaan di mana mereka diberi kelebihan memperkenalkan produk di platform DNA Marketplace yang dibangunkan oleh INSKEN dan akan dilayari oleh bakal dropshipper selain menjadi rakan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta INSKEN.
Namun apa yang penting ujarnya adalah pengasas produk berpeluang menjana pendapatan hasil daripada dropshipper yang terlatih melalui program berkenaan.
"Penglibatan pengasas produk memainkan peranan penting dalam kejayaan program ini kerana peserta akan memilih produk dan pakej dropship yang diminati sejurus tamat program.
"Pengasas produk yang berdaftar adalah bukan calang-calang kerana proses saringan dilakukan terlebih dahulu sebelum maklumat produk dan pakej dropship diiklankan di platform DNA Marketplace," jelasnya.
Muhd Firdaus menjelaskan, antara syarat kelayakan adalah mempunyai pakej dan sistem dropship, tahap ketersediaan sokongan kepada dropshipper dan bekalan produk sedia ada untuk dijual.
"INSKEN menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengasas produk sedia ada seperti Sugarbomb, Das Abdul Global, Zafesha Simply, Shasya Habib, Wany Snack dan lain-lain kerana komitmen menjayakan program DNA.
"Tidak dilupakan 61 pengasas produk baharu termasuk jenama Hasnuri, Nurraysa, Kucate dan Milagro yang turut diraikan dalam Majlis Hi-Tea INSKEN yang diadakan di Cheras Selangor baru-baru ini," ujarnya.
INSKEN merupakan sebuah agensi di bawah naungan KUSKOP yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan.
#DNA #keusahawanan #INSKEN #Kuskop
;