INSKEN bawa graduan jadi usahawan melalui ejen pesan hantar

Najib Aroff
Oktober 25, 2021 16:10 MYT
DNA ini membabitkan empat komponen iaitu Latihan Dropship 101 selama dua hari bagi memberi pemahaman dan memperkenalkan prinsip perniagaan dropship dan ejen. - Gambar fail/INSKEN
KUALA LUMPUR:
Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menyasarkan 2,000 usahawan menyertai Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) menjelang suku pertsama 2022.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi insentif pendigitalan yang berbentuk subsidi sebanyak 50 peratus atau maksima RM300 akan ditanggung oleh INSKEN untuk membantu peserta program membayar yuran langganan platform pemasaran e-Dagang seperti Wasap.me, OnPay, Ordersini, Yezza, Shoppegram dan lain-lain.
“Program ini diperkenalkan untuk individu yang baru berjinak dalam bidang keusahawanan dan ingin memulakan perniagaan dengan menjadi usahawan dropship (ejen pesan hantar) dahulu dan memahami selok-belok alam perniagaan bagi mengurangkan risiko kegagalan.
“Bermula dengan menjual produk orang lain adalah satu langkah yang bijak sebelum menghasilkan serta menjual produk sendiri.
“Pada peringkat ini, usahawan dropship boleh menimba seberapa banyak ilmu, panduan serta pengalaman daripada pengasas produk tempatan yang tersenarai di dalam Program Bisnes Usahawan Dropship dan Ejen.
“Nama besar dalam bidang keusahawanan dengan catatan jumlah jualan tahunan cemerlang adalah antara pengasas produk di dalam program ini.
“Ini sekaligus membuka peluang kepada umum terutamanya graduan untuk menghasilkan pendapatan dengan menjual produk mereka yang ternyata sudah stabil dan terkenal di pasaran,” katanya di majlis pelancaran DNA di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar.
Melalui pelaksanaan program ini, INSKEN mensasarkan 50 peratus daripada usahawan yang menjadi usahawan dropship mampu menjana pendapatan minimum sebanyak RM600 sebulan.
Secara keseluruhan, RM7.2 juta jumlah pendapatan dijangka akan terhasil daripada usahawan dropship dan pengasas produk melalui DNA.
DNA ini membabitkan empat komponen iaitu Latihan Dropship 101 selama dua hari bagi memberi pemahaman dan memperkenalkan prinsip perniagaan dropship dan ejen.
#DNA #Noh Omar #INSKEN #Medac
;