Insken bantu usahawan tempuh norma baharu, catat peningkatan jualan RM9.8 juta
Astro Awani
Januari 25, 2022 20:32 MYT
Januari 25, 2022 20:32 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya membantu usahawan menyesuaikan diri serta meneruskan perniagaan dalam norma baharu dengan peningkatan hasil jualan sebanyak RM9.8 juta.
Ia melalui dua program bimbingan iaitu Insken Bumiputera Business Coaching (BBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, pihaknya berharap lebih ramai usahawan dapat dilahirkan dan pelbagai peruntukan diberikan oleh kerajaan dan agensi dilantik untuk memberi bimbingan terutama usahawan dilatih Insken.
“Insken sentiasa konsisten menghulurkan bantuan berbentuk latihan serta bimbingan bagi memastikan usahawan dapat kekal bertahan ketika pandemik dan kini kita dapat menyaksikan usahawan mula menyesuaikan diri dengan norma baharu.
“Usahawan dilihat bukan sahaja mampu berdepan dengan norma baharu malah catatan hasil peningkatan jualan ini merupakan sebuah penanda aras yang amat baik.
“Usahawan yang berjaya meningkatkan hasil jualan ini adalah bukti mereka mampu meneruskan perniagaan walaupun perlu mengamalkan norma baharu dan ia bukan penghalang untuk terus maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau hadir pada Majlis Graduan Program Bimbingan Insken 2020/ 2021 di ibu negara pada Isnin.
Di samping itu, sebanyak 256 pekerjaan baharu berjaya dicipta melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi ini yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Untuk rekod, graduan yang lulus di bawah program Insken, mereka secara automatik diberikan kelulusan permohonan pinjaman dan mendapat pengesahan daripada Insken dan diluluskan secara serta merta.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin, seramai 295 peserta Program IBBC tamat bimbingan secara “one- on-one” selama empat bulan.
"Merupakan usahawan daripada industri “postnatal care”, restoran dan kafe, bakeri, jualan pasaraya, jahitan dan ekopelancongan," katanya.
Katanya, kesemua peserta program itu dibimbing oleh pakar industri sekali gus mencatat peningkatan jualan yang cukup memberangsangkan.
“Seramai 170 peserta daripada dua kohort Program E-Board dibimbing membuat pemasaran digital selama empat bulan berjaya mencatat peningkatan hasil jualan melebihi RM560,000.
“Usahawan yang menyertai program ini berjaya membuat transformasi perniagaan ke arah digital dengan menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Shopee, Lazada, Telegram dan YouTube.
“Oleh itu, Insken akan terus memberikan bimbingan kepada usahawan melalui dua program in yang masih lagi diteruskan pada 2022,” katanya.
#Institut Keusahawanan Negara Berhad
#INSKEN
#usahawan
#Tan Sri Noh Omar
#Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi