Inovasi mampan jadi tumpuan utama ACAAF 2024, julung kali di Malaysia
Amzar Alif
Ogos 19, 2024 20:53 MYT
Ogos 19, 2024 20:53 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi melakar detik bersejarah selepas menjadi tuan rumah kepada penganjuran Asia Convention Alliance Association Forum (ACAAF) 2024 yang memberi tumpuan kepada Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bernaung di bawah tema, 'Acara Perniagaan bersama Teknologi dan Kelestarian', penganjuran ACAAF 2024 mengumpulkan 100 individu berpengaruh besar dari seluruh Asia untuk meneroka inovasi mampan sambil menjadi pemangkin idea transformatif serta merangka kejayaan bersama.
Mengimbau kembali kejayaan penganjuran forum di Thailand yang dianjurkan oleh Thailand Convention & Exhibition Bureau (TCEB) dan Thailand Incentive and Convention Association (TICA), kini giliran Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) pula untuk menjulang obor bagi mengendalikan majlis berprestij tersebut.
Pengarah Insentif Mesyuarat dan Sokongan MyCEB, Mohammad Isa Abdul Halim berkata, pihaknya amat teruja dengan penganjuran ACAAF 2024 di Malaysia dan berharap platform ini mampu memberi impak positif kepada landskap konvensyen di Asia.
"Forum ini mewakili perjalanan kolektif untuk bertukar-tukar amalan terbaik dan berkongsi kisah kejayaan yang memberi inspirasi.
“Selain itu, ia bertujuan untuk mencipta kesan mendalam dan berkekalan pada landskap konvensyen Asia melalui kemampanan dan teknologi,” katanya.
Antara yang bakal mencuri tumpuan adalah kehadiran daripada barisan VIP dan pemimpin industri dari beberapa buah negara yang merupakan ahli di bawah Academic Cooperation Association (ACA), ahli TCEB, TICA, Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) dan Seoul Tourism Organization (STO).
Penetapan rangkaian lebih mampan yang menyatukan ahli ACA dengan pemegang kepentingan konvensyen untuk merevolusikan kesan alam sekitar industri menjadi penanda aras buat penganjuran ACAAF 2024.
Sebagai acara tahunan dengan pelantikan beberapa tuan rumah termasuk MyCEB, ACAAF 2024 menjanjikan ini sebagai platform penting buat semua pihak berkepentingan untuk pertukaran idea, meluaskan rangkaian sosial dan menerokai inovasi kemajuan.
Edisi kali ini juga dilihat mampu mendorong manfaat besar buat industri acara perniagaan Malaysia sambil mengukuhkan lagi status negara sebagai destinasi acara perniagaan utama di Asia.