Inisiatif strategik EDOTCO-TIP sediakan penyelesaian 5G/4G di dalam bangunan di Malaysia

Bernama
Disember 7, 2022 17:31 MYT
EDOTCO berkata pengguna mudah alih akan dapat menikmati data berkelajuan tinggi, kependaman rendah dan pengalaman Internet sedia metaverse. - Foto EDOTCO
KUALA LUMPUR: EDOTCO Group mengumumkan inisiatif strategik dengan Telecom Infra Project (TIP) untuk menggunakan enam penyelesaian perintis di dalam bangunan dengan model 'Neutral Host' dan perkongsian sel kecil 4G dan 5G di bangunan ikonik yang dikenal pasti di Malaysia.
Antara bangunan ikonik yang terpilih ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KL Sentral dan Merdeka 118, katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu terkemuka di Asia itu berkata, pihaknya telah menandatangani Perjanjian Percubaan Pasaran dengan TIP bagi meningkatkan penawaran produk kepada komuniti di seluruh Asia Pasifik dan dunia, dengan memulakan fasa perintis di bandar-bandar di Malaysia.
"Inisiatif ini akan bermula di Malaysia sebagai sebahagian daripada siri perintis sebelum menjadikan sambungan 5G boleh diakses ke kawasan yang lebih luas di rantau ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Usaha ini akan menyediakan liputan dalaman yang lebih baik untuk pengguna, seiring dengan keperluan yang meningkat untuk menjana lebih banyak trafik dalam dekad akan datang," katanya.
Dengan menggunakan penyelesaian ini, EDOTCO berkata pengguna mudah alih akan dapat menikmati data berkelajuan tinggi, kependaman rendah dan pengalaman Internet sedia metaverse.
Melalui inisiatif itu, TIP akan menyediakan hala tuju strategik dan pengetahuan teknikal untuk menambah baik amalan terbaik global bagi penyelesaian di dalam bangunan di seluruh dunia.
EDOTCO sebaliknya, akan memiliki, mengendalikan, mengurus dan memajak infrastruktur sebagai model 'Neutral Host Network-As-A-Service' (NaaS) kepada operator telekom.
"Setelah mencapai kejayaan dalam pelaksanaan, EDOTCO berhasrat untuk melancarkan sel kecil yang boleh dikongsi dalam kuantiti besar-besaran, direplikasi di pasaran Asia lain yang berada dalam jangkauan kami," kata syarikat itu.
Ia menambah kerjasama itu adalah bukti komitmen EDOTCO bagi membina hubungan yang lebih mampan dan saksama untuk negara di peringkat serantau dan global.
Sejak penubuhannya pada 2012, EDOTCO telah menubuhkan portfolio serantau yang mengandungi lebih 54,000 menara telekomunikasi merentasi sembilan negara di Asia Tenggara dan Selatan.
-- BERNAMA
#Kuala Lumpur #EDOTCO #Telecom Infra Project #KLIA
;