Ini 5 perkara bakal jadi tumpuan pada acara khas Apple tahun ini
Ibrahim Sani
September 9, 2019 07:20 MYT
September 9, 2019 07:20 MYT
Syarikat gergasi teknologi Apple dijadual mengadakan satu taklimat khas lewat hari ini.
Wujud desas-desus syarikat itu akan melancarkan model iPhone terbaharu selain mengemas kini beberapa produk mereka.
Berikut lima perkara yang dinanti-nantikan pada acara khas Apple tahun ini:
PERTAMA: TIGA IPHONE BAHARU?
Model terbaharu telefon pintar iPhone menjadi tumpuan pada persembahan media Apple yang akan berlangsung lewat hari ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Apple telah menganjurkan acara pada musim luruh untuk melancarkan model iPhone baharu menjelang musim beli-belah akhir tahun.
Spekulasi wujud bahawa Apple akan memperkenalkan tiga model iPhone yang dinaik taraf, termasuk model "Pro".
Model Pro ini akan menggantikan model XS dan XS Max.
Satu model bukan premium akan menggantikan model XR dan dijangka ditetapkan pada harga sekitar AS$1,000 (kira-kira RM4,200).
KEDUA: KEBERGANTUNGAN APPLE TERHADAP IPHONE AKAN SUSUT
Sejak dilancarkan pada tahun 2007, iPhone menyumbang lebih daripada separuh jumlah pendapatan Apple untuk beberapa tahun ini, menjadikan iPhone produk teras bagi syarikat itu.
Namun begitu, pemerhati teknologi mendakwa iPhone ialah ‘produk usang’ dan tidak mempunyai sebarang teknologi baharu untuk mampu bersaing dengan syarikat lain.
Ini bermakna Apple berada dalam situasi yang agak janggal di mana ia harus menjual lebih banyak iPhone dalam tahun-tahun mendatang.
Pada masa sama, ia harus memastikan kebergantungan terhadap produk ini semakin berkurangan agar tidak terus dibelenggu sebagai ‘syarikat teknologi usang’ berbanding pesaing.
Nantikan pengumuman Apple tentang produk-produk lain dalam sesi acara khas tahun ini. Ini dapat memberikan pembayang kepada bagaimana syarikat ini akan berfungsi pada masa hadapan.
KETIGA: LANGGANAN IADALAH MASA DEPAN APPLE?
Sesetengah penganalisis mengatakan perkhidmatan, langganan dan kandungan dalam talian akan berkongsi pentas dengan perkakasan yang hebat di Apple ketika ia berusaha mengubah fokusnya.
Apple dijangka akan menggabungkan iPhone dengan produk penstriman video, muzik, televisyen dan perkhidmatan permainan dengan telefon bimbit baharu ini.
KEEMPAT: NETFLIX & AMAZON PRIME RAKAN KONGSI PENTING APPLE
Apple baru-baru ini mengeluarkan kad kredit generasi telefon pintar di Amerika Syarikat dan berminat melancarkan perkhidmatan penstriman mereka Apple TV+ lebih awal daripada Disney yang akan melakukan perkara sama pada November ini.
Ramai yang tertanya-tanya sama ada pelancaran Apple TV+ akan menjadi antara pengumuman hari ini.
Dengan bintang-bintang Hollywood dipamerkan sebagai rakan kreatif Apple TV+, Apple dijangka melancarkan penstriman video bersama-sama dengan tawaran langganan berita dan permainan Apple Arcade.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha mengalihkan tumpuannya kepada kandungan dan perkhidmatan digital dalam usahanya mengurangkan kebergantungan kepada penjualan iPhone.
Syarikat itu juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan langganan permainan baharu yang dinamakan Apple Arcade di peringkat antarabangsa menjelang akhir tahun ini.
KELIMA: CHINA SEBAGAI PASARAN UTAMA APPLE
Apple menguasai 12 peratus pasaran telefon bimbit dunia.
Apple semakin dicabar pesaing, terutamanya Huawei yang menggantikan tempatnya sebagai pembikin telefon kedua terbesar di dunia.
Samsung kekal di tempat pertama.
Memandangkan Apple sekarang di tempat ketiga sebagai pembikin telefon terbesar dunia, Apple harus memberikan saingan terbaik di pasaran terbesar Huawei iaitu di China.
Acara tahun ini dijangka akan memberikan gambaran terbaik bagaimana mereka akan menguasai pasaran 1.4 bilion penduduk itu.
China mencatatkan kira-kira 17 peratus jualan Apple secara keseluruhan dan mempunyai ruang yang sangat besar untuk pertumbuhan.
Namun perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China merumitkan usaha Apple dalam pasaran itu.
Nantikan pengumuman khas oleh Apple yang dijangka berlangsung pada Rabu, jam 1 pagi.
#Amerika Syarikat
#Apple
#AS
#China
#Disney
#Hollywood
#Huawei
#iPhone
#Media
#model
#Samsung
#telefon pintar
#video