Ini 10 manfaat TPPA kepada Malaysia yang perlu anda tahu

Rizal Zulkapli
Februari 4, 2016 10:34 MYT
Perniagaan Malaysia kini mempunyai akses pasaran kepada 40 peratus ekonomi dunia. - Foto AFP
Malaysia dan 11 negara lain hari ini menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di Aukland, New Zealand. 12 negara yang terlibat mewakili 40 peratus ekonomi dunia dan akses pasaran yang luas kepada perniagaan Malaysia.
Ini 10 manfaat utama TPPA kepada Malaysia menurut rangkuman Bernama.
Menteri Perdagangan Amtarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (enam dari kiri) bersama wakil 11 negara lain menandatangani perjanjian bersejarah di Auckland yang akan meningkatkan lagi perdagangan global. - Foto AFP
1. Peningkatan gaji untuk pekerja tidak mahir diunjur meningkat sebanyak 0.45-0.91 peratus dan pekerja mahir sebanyak 0.38-0.78 peratus.
2. Dasar Bumiputera dan PKS kekal pada status quo sedia ada.
3. Lebih daripada 90 peratus peningkatan ekonomi disumbangkan menerusi langkah bukan tarif yang lebih rendah.

"Kerajaan Malaysia telah menimbang pendapat akar umbi, pengusaha dan pemimpin industri, dan mereka memberi sokongan yang baik." Datuk Seri Mustapa Mohamad Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

4. Eksport dijangka meningkat mengatasi pertumbuhan import, sekali gus lebihan dagangan dijangkakan mengecil kepada 4.3-5.2 peratus KDNK pada 2027
5. Sektor yang menyumbang kepada 20 peratus KDNK Malaysia pada 2014 dijangkakan akan mencatat pertumbuhan keluaran yang lebih tinggi, terutama subsektor pembuatan.
6. Syarikat berorientasikan eksport akan memproleh manfaat daripada akses pasaran yang lebih luas.

"Kami yakin akses pasaran sangat penting bagi Malaysia, terutama dengan negara yang kita tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Akses pasaran merupakan antara sebab kita menyertai TPPA." Datuk Seri Mustapa Mohamad Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

7. Syarikat akan memperoleh manfaat menerusi akses kepada pemerolehan kerajaan, liberalisasi digital yang lebih luas selain penguatkuasaan perlindungan rahsia perdagangan
8. Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia diunjur meningkat sebanyak US$107 bilon kepada US$211 bilion antara 2018-2027.
9. Pelaburan diunjur meningkat kepada US$239 bilion antara 2018-2027 - disumbang pelaburan yang lebih tinggi dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.

"Kami telah mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan membawanya ke Parlimen walaupun ia bukanlah suatu keperluan undang-undang, dengan tujuan untuk diperdebatkan dan dibincangkan bagi memperoleh pandangan yang lebih baik daripada pelbagai pihak berkepentingan." Datuk Seri Mustapa Mohamad Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

10. Penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS) mungkin meningkatkan kos kepada kerajaan, namun perlindungan sudah disediakan bagi menangani saman dan melindungi dasar terutama dalam bidang kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Ia juga meningkatkan perlindungan ke atas syarikat Malaysia yang melabur di luar negara.
#Bumiputera dalam TPPA #Datuk Seri Mustapa Mohamed #Manfaat TPPA kepada Malaysia #TPPA di Auckland #TPPA ditandatangani
;