Ingin teroka industri kreatif dan animasi ? Ini 4 jangkaan bagi tempoh 2016-2020

Nurulhana Ismail
Januari 28, 2016 08:48 MYT
Industri kandungan kreatif akan terus mencatatkan pertumbuhan yang baik di sebalik kelemahan dan ketidaktentuan ekonomi global dipacu permintaan berterusan dan pelbagai platform penyedia kandungan.
Industri kandungan kreatif akan terus mencatatkan pertumbuhan yang baik di sebalik kelemahan dan ketidaktentuan ekonomi global.
Ini dapat dilihat menerusi permintaan berterusan pengguna serta kewujudan pelbagai platform penyedia kandungan di dunia.
Fakta berikut adalah jangkaan industri kandungan kreatif dan animasi negara menjelang 2016-2020.
Apakah Jangkaan Pasaran Global 5 Tahun Akan Datang?
Setakat 2014, industri kandungan kreatif tumbuh lebih 3 peratus dengan nilai pasaran global sebanyak AS$500 bilion.
Mengikut laporan yang dikeluarkan PricewaterhouseCoopers (PwC) pasaran ini dijangka berkembang sehingga AS$680 bilion menjelang 2020.
Adakah Pasaran Malaysia Dijangka Baik?
Industri hiburan tempatan dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus dalam tempoh 5 tahun.
Pasaran di Malaysia pula menghampiri AS$2.6 bilion dan dijangka akan tumbuh sehingga AS$2.8 ke 3 bilion dalam tempoh 5 tahun.
Manakala sumbangan industri kandungan kreatif dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula dijangka pada kadar 17 peratus.
Apakah Antara Segmen Yang Berpotensi?
Produksi animasi Malaysia kini dilihat unggul di rantau Asia Tenggara.
Malaysia kini dalam usaha untuk menjadikan negara hab animasi dengan meningkatkan kemampuannnya dalam pembangunan teknologi multimedia.
Mengikut sasaran yang ditetapkan kerajaan, segmen ini akan menyumbang 35 ke 40 peratus daripada pasaran industri kandungan kreatif negara secara keseluruhan.
Wujudkah Peluang Pekerjaan Bagi Industri Ini Di Malaysia?
Cerah. Bagaimanapun, Malaysia masih kekurangan bakat yang bersedia untuk memasuki pasaran.
Malaysia mensasarkan agar industri ini mewujudkan sekurang-kurangnya 11,000 pekerjaan baru menjelang 2020 .
Daripada jumlah ini, 30 peratus disumbang segmen animasi iaitu sekitar 2,500 ke 3,000 pekerjaan baru.
#animasi #industri kreatif #jangkaan ekonomi #kandungan kreatif #unjuran ekonomi
;