Inflasi Oktober 2023 naik 1.8 peratus, terendah sejak April 2021
Harits Asyraf Hasnan
November 24, 2023 12:45 MYT
November 24, 2023 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Oktober 2023 meningkat 1.8 peratus, terendah sejak April 2021, dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 128.6 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi ini didorong kenaikan lebih rendah bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, 3.6 peratus berbanding September 2023 iaitu 3.9 peratus.
Ini diikuti peningkatan perlahan kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.4 peratus) (September 2023: 1.5 peratus) serta pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus) (September 2023: 2.5 peratus).
Sementara itu, antara kumpulan utama lain yang menyumbang kepada peningkatan lebih rendah berbanding September 2023 adalah kumpulan minuman alkohol dan tembakau (0.6 peratus) (September 2023: 0.7 peratus) serta pakaian dan kasut (0.0%) (September 2023: 0.1%).
"Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 3.6 peratus.
"Komponen makanan di rumah meningkat 2.1 peratus berbanding 2.5 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
"Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti & bijirin lain, 3.6 peratus (September 2023: 4.1%).
"Ini diikuti oleh subkumpulan susu, keju dan telur serta daging masing-masing meningkat 3.1 peratus dan 2.1 peratus," memetik kenyataan tersebut.
Sementara itu, komponen makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 5.6 peratus berbanding 5.9 peratus yang direkodkan pada September 2023.
Peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti dan bijirin lain sebanyak 3.6 peratus pada Oktober 2023 disumbangkan oleh kenaikan kelas perbelanjaan beras sebanyak 5.3 peratus (September 2023: 5.0 peratus).
"Ayam yang merupakan komponen terbesar merangkumi 46.1 peratus dalam subkumpulan daging mencatatkan penurunan negatif 0.7 peratus berbanding 0.9 peratus pada bulan September 2023.
"Purata harga Ayam standard di Malaysia menurun kepada RM10.02 sekilogram berbanding RM10.07 sekilogram pada bulan Oktober 2022 (September 2023: RM10.01).
"Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengumumkan pengapungan harga ayam bermula 1 November 2023 bagi mengelakkan ketirisan subsidi yang telah dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi selain untuk menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.
"Walau bagaimanapun, kerajaan masih meneruskan subsidi bagi telur gred A, B dan C," lapor kenyataan tersebut.