Inflasi Malaysia pada Jun terkawal, kekal 2% pada bulan pertama rasionalisasi subsidi
Nabilah Khaleeda
Julai 24, 2024 13:25 MYT
Julai 24, 2024 13:25 MYT
PUTRAJAYA: Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus pada Jun 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.0 berbanding 130.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, peningkatan inflasi tersebut didorong oleh peningkatan bagi beberapa kumpulan utama.
Ia termasuk restoran & perkhidmatan penginapan (3.3 peratus); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api Lain (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (2.8 peratus) dan makanan & minuman (2.0 peratus).
Manakala, pakaian & kasut serta insurans & perkhidmatan kewangan masing-masing menurun kepada negatif 0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan inflasi kumpulan makanan dan minuman mencatatkan peningkatan 2.0 peratus pada Jun.
"Inflasi keseluruhan secara bulanan merekodkan kenaikan 0.2 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, inflasi teras meningkat 1.9 peratus pada Jun, kadar yang sama seperti yang direkodkan pada Mei tahun ini.
"Bagi inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus.
"Bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.7 peratus), Pahang (2.7 peratus), dan Selangor (2.4 peratus)," tambahnya.