Inflasi diunjur terus meningkat, BNM mungkin naikkan OPR pada separuh kedua 2022

Dagang News
April 26, 2022 09:45 MYT
Sebarang kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh BNM akan dipacu oleh data dan persekitaran luaran. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tekanan inflasi diunjur terus meningkat sepanjang tahun ini terutamanya disebabkan tekanan kos, berikutan harga komoditi, bahan mentah dan tenaga yang lebih tinggi.
Menurut AmInvestment Bank Research, gangguan bekalan dan caj pengangkutan yang lebih tinggi turut mempengaruhi tekanan inflasi.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan inflasi akan berlegar antara 2.8 hingga 3% di sebalik pasaran pekerjaan yang bertambah baik dengan kadar pengangguran tahun ini sekitar 4.1%.
"Selain itu, kami juga menjangkakan kemungkinan pemindahan harga akan berlaku daripada pengeluar kepada pengguna akhir.
"Namun, secara menyeluruh, tekanan terhadap inflasi akan dibendung menerusi subsidi.
"Ini akan memberi ruang yang mencukupi untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengelak daripada bertindak agresif ke atas dasar kadarnya," katanya dalam nota kajian pada Isnin.
Firma itu berkata, kenaikan 25 mata asas pada Julai dijangka bertujuan untuk menangani perbezaan kadar faedah dan menyediakan beberapa penampan untuk ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Jelasnya, sebarang kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh BNM akan dipacu oleh data dan persekitaran luaran.
"Berdasarkan penilaian semasa kami, terdapat hanya 40% peluang untuk BNM menaikkan kadar ini pada September 2022," tambahnya.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan mendedahkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) negara pada Mac 2022 meningkat sebanyak 2.2% kepada 125.6 berbanding 122.9 pada Mac 2021, melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011-Mac 2022 yang berada pada 1.9%.
Inflasi teras mencatatkan peningkatan 2% tahun ke tahun pada bulan yang sama.
Kenaikan inflasi makanan, yang menjadi komponen terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.
Sementara itu, MIDF Research turut menaikkan unjuran IHP tahun ini kepada 2.5% daripada 2.1% sebelum ini dengan jangkaan inflasi makanan yang lebih tinggi berikutan lonjakan harga komoditi global.
Katanya, tekanan inflasi Malaysia dijangka terjejas secara tidak langsung disebabkan kenaikan harga komoditi, terutama melalui inflasi makanan yang lebih tinggi pada 3.5% berbanding unjuran awal sebanyak 2.3%.
“Pada masa hadapan, kami menjangkakan inflasi makanan domestik Malaysia akan kekal pada aliran meningkat berikutan peningkatan IHP makanan global dalam keadaan harga komoditi yang tinggi dan gangguan rantaian bekalan di Eropah,” katanya.
Menurutnya, aliran menaik dalam IHP teras menunjukkan tekanan harga asas daripada permintaan domestik yang semakin meningkat, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan pembukaan semula ekonomi.
MIDF Research berkata, dengan inflasi kekal dalam 2 hingga 3%, BNM berkemungkinan akan menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus pada separuh kedua tahun ini berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Namun, kami berpendapat kerajaan juga akan mengambil tindakan untuk membendung inflasi sekiranya kenaikan harga komoditi dan gangguan bekalan yang berpanjangan dalam pasaran antarabangsa membawa kepada tekanan inflasi yang lebih kuat,” jelasnya. -DagangNews.com
#AmInvestment Bank Research #BNM mungkin naikkan OPR #tekanan inflasi #Bank Negara Malaysia
;