Inflasi diramal 2.5 peratus pada 2015

Najib Aroff
Ogos 4, 2015 17:30 MYT
Inflasi tahun penuh 2015 diramal berada pada 2.5 peratus, lebih rendah berbanding 3.5 peratus yang dicatat pada 2014.
Inflasi tahun penuh 2015 diramal berada pada 2.5 peratus, lebih rendah berbanding 3.5 peratus yang dicatat pada 2014.
Menurut Pakar Ekonomi dan Ketua Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong, penurunan kadar inflasi itu disumbang penurunan harga minyak di pam sejak Sistem Apungan Terkawal diperkenalkan kerajaan sejak 1 Disember 2014.
Sistem itu membolehkan harga ditentukan secara bulanan mengikut turun naik harga minyak di pasaran dunia.
Menurut Kristina, harga minyak yang rendah menyumbang kepada senarai barangan dan perkhidmatan di bawah Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur corak purata pembelian penduduk bagi satu tempoh.
Harga minyak menyumbang sekitar 9 peratus dalam kumpulan barangan dan perkhidmatan tersebut.
"Ia dipengaruhi kelemahan harga minyak dan trend (harga minyak) akan kekal pada julat harga ini. Faktor penurunan inflasi itu akan kekal sehingga akhir tahun," kata beliau ketika Majlis Pembentangan Unjuran Pertumbuhan dan Ketidaktentuan ringgit di ibu negara hari ini.
Tambahnya, pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) setakat ini menyumbang kepada pertumbuhan tambahan sebanyak 1.2 peratus, lebih rendah dari jangkaan 1.5 peratus sebelum ini.
Penganalisis sebelum ini meramalkan impak GST akan lebih signifikan terhadap harga barangan di bawah IHP dan meramalkan inflasi melepasi angka 3.5 peratus.
#harga minyak #Inflasi #Kristina Fong #RAM Ratings #ramalan
;