#Industry4WRD: Anda gagal, kerajaan yang rugi, kata Perdana Menteri

Firdaus Azil
Oktober 31, 2018 13:28 MYT
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap sempena Forum Khazanah Megatrends 2018, hari ini. - fotoBERNAMA
Kerajaan Persekutuan akan cuba memastikan ekosistem di bawah Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) berjalan lancar bagi membolehkan Malaysia dapat mencapai status negara pilihan pemain industri menjelang 2025.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melalui dasar baharu ini, industri yang terlibat, khususnya sektor pembuatan, dapat mempercepatkan penglibatan mereka dalam Industri 4.0.
“Saya ingin mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kejayaan polisi ini. Sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai hubungan baik dengan industri, saya harap anda semua dapat terus bersama dan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan bagi memastikan polisi ini berjaya.
“Kejayaan anda adalah urusan kami. Kenapa? Mungkin kedengaran agak pentingkan diri, tetapi hari ini, kerajaan mempunyai 26 peratus keuntungan dalam setiap sen keuntungan anda. Jadi, adalah menjadi urusan kami untuk memastikan anda tidak gagal,” katanya ketika melancarkan Dasar Industri 4.0 Nasional, di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), di sini hari ini.
Turut hadir pada pelancaran itu, ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Presiden Persatuan Pengeluar Malaysia (FMM) Datuk SOh Thian Lai, serta 1,000 hadirin terdiri daripada pemain-pemain industri.
Menurut kenyataan media MITI, dasar ini akan melonjakkan imej Malaysia sebagai rakan strategik untuk sektor pembuatan pintar, serta menjadi destinasi pilihan utama untuk industri berteknologi tinggi, serta menjadi penyedia penyelesaian penuh untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan di rantau ini.
Dasar berkenaan juga telah menetapkan empat sasaran uama, iaitu peningkatan tahap produktiviti sektor pembuatan kepada 30 peratus, meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara daripada RM254 bilion kepada RM392 bilion, serta mengukuhkan kapasiti dan kebolehan negara dalam Indeks Inovasi Global dari kedudukan 35, ke 30 ke atas.
Selain itu, sasaran juga ditetapkan dalam meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan dari 18 ke 35 peratus.
#Azmin Ali #Darell Leiking #Dasar Industri 4 0 Nasional #ekonomi #Industry4WRD #kerajaan #Mahathir Mohamad #Malaysia #MITI #Perdana Menteri #presiden #Tun M
;