Industri takaful dijangka catat pertumbuhan stabil pada 2024 - Persatuan

Bernama
Mac 27, 2024 08:10 MYT
Elmie (kiri) bersama Mohd Radzuan (kanan) pada sidang media selepas menyampaikan taklimat mengenai Industri Takaful pada Majlis Pengumuman dan Prestasi Industri Takaful 2023 di Kuala Lumpur semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menjangkakan industri takaful mengekalkan momentum yang stabil pada 2024.
Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata tahun 2024 akan memperlihatkan prestasi lebih baik, mencerminkan keseluruhan unjuran pengembangan ekonomi sebanyak empat peratus berbanding 3.7 peratus pada 2023.
"Kami optimis. Berdasarkan trend, terdapat penambahbaikan dari segi saiz produk sedia ada yang menunjukkan penglibatan (pemegang sijil) yang semakin peka untuk mempunyai perlindungan (takaful)," katanya dalam taklimat media mengenai prestasi industri takaful dan pelan transformasi strategik semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata beliau menjangka produk takaful mikro seperti Perlindungan Tenang akan terus berkembang memandangkan 40 peratus daripada populasi, terutama dalam kategori B40, tidak mempunyai insurans/takaful.
"Terdapat 11 produk yang ditawarkan oleh 10 pengendali takaful. Kami menjangka penawaran produk meningkat sebaik sahaja kami membangunkan pelan transformasi industri takaful yang dikenali sebagai Hijrah27," katanya.
Hijrah27, pelan hala tuju industri takaful (2024-2027), bermatlamat untuk meningkatkan dan menginovasi takaful menjadi nama yang dikenali di Malaysia dan mengilhamkan pemegang polisi generasi baharu.
Beliau berkata mandat ini adalah untuk menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan memberi impak.
“Pelan transformasi ini merangkumi perubahan dengan tujuan serta menyepadukan misi MTA dengan matlamat visi Rangka Kerja Sektor Kewangan 2026 dan kerangka Intermediasi Berasaskan Nilai untuk industri.
“Hijrah27 adalah sambungan daripada Pelan Reformasi MTA yang berjaya dilaksanakan pada 2022-2023, yang dikenali sebagai ISLAH 23, dan akan memacu industri dan ekosistem Islam secara keseluruhan bagi memajukan takaful,” katanya.
Sementara itu, Elmie pada majlis berkenaan berkata, sepanjang 2023, pengendali takaful keluarga menambah 1.13 juta sijil baharu dengan caruman kasar sebanyak RM9.59 bilion, tetapi tidak mencapai 1.31 juta sijil baharu dan caruman kasar RM10.06 bilion yang didaftarkan pada 2022.
“Walaupun jumlahnya rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya, ia masih memberi kesedaran dan kepercayaan yang berterusan terhadap perlindungan takaful dalam kalangan rakyat,” katanya.
Menurutnya, pengendali takaful telah membayar tuntutan perlindungan takaful berjumlah RM8.74 bilion pada 2023 untuk menyokong rakyat ketika mereka memerlukan.
Pengendali takaful keluarga telah membayar sebanyak RM6.79 bilion, menggariskan komitmen mereka untuk melindungi keluarga di seluruh negara manakala pengendali takaful am mengeluarkan jumlah tuntutan sebanyak RM1.95 bilion.
Peningkatan pembayaran sebanyak 24.40 peratus ini menunjukkan kepekaan industri takaful terhadap keperluan pemegang sijil dan dedikasinya untuk meringankan beban rakyat dalam kadar segera.
“Pembayaran ini disokong oleh sumbangan kasar perniagaan berkuat kuasa takaful keluarga yang meningkat sebanyak 7.55 peratus kepada RM8.97 bilion berbanding RM8.34 bilion pada 2022,” kata Elmie.
Bilangan sijil berkuat kuasa pada 2023 adalah stabil pada 6.60 juta berbanding 6.63 juta sijil berkuat kuasa pada 2022.
Elmie berkata, dari segi prestasi, data tiga tahun menunjukkan normalisasi dalam industri pada 2023, selepas pertumbuhan kukuh pascapandemik pada 2022.
“Kadar penembusan takaful keluarga pada 2023 kekal stabil pada 19.58 peratus, walaupun populasi mencatat pertumbuhan tertinggi 10 tahun dengan peningkatan sebanyak 678,500 orang, mengatasi pertumbuhan pada 2022,” katanya.
Kadar penembusan takaful keluarga pada 2022 adalah 20.06 peratus dan pertumbuhan populasi berjumlah 401,600 orang.
-- BERNAMA
#takaful #Persatuan Takaful Malaysia #Elmie Aman Najas #Mohd Radzuan Mohamed
;