Industri syarikat penerbangan akan pertingkat keuntungan pada 2025 - IATA
Bernama
Disember 10, 2024 06:15 MYT
Disember 10, 2024 06:15 MYT
GENEVA: Industri penerbangan global diunjur memperkukuh keuntungan pada 2025 dengan keuntungan bersih AS$36.6 bilion (RM161.8 bilion), menyumbang margin keuntungan bersih 3.6 peratus, di tengah-tengah gangguan kos dan rantaian bekalan yang berterusan, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Jumlah pendapatan industri pula dijangka mencecah AS$1.01 trilion (RM4.46 trilion), peningkatan 4.4 peratus berbanding 2024 sekali gus merupakan kali pertama pendapatan industri melepasi angka AS$1 trilion (RM4.42 trilion).
Pengarah Urusan IATA Willie Walsh berkata penambahbaikan ini memerlukan usaha keras memandangkan syarikat penerbangan memanfaatkan harga minyak yang lebih rendah, dan pada masa sama memastikan faktor muatan melebihi 83 peratus, mengawal kos dengan teliti serta melabur dalam penyahkarbonan.
"Semua usaha ini akan membantu meringankan beberapa cabaran untuk meraih keuntungan, dalam aspek yang tidak dapat dikawal oleh syarikat penerbangan seperti gangguan berterusan dalam rantaian bekalan, kekurangan infrastruktur, pengawalseliaan yang menyukarkan dan peningkatan beban cukai," katanya pada Hari Media Global IATA di sini.
Keuntungan operasi dijangka berjumlah AS$67.5 bilion (RM298.35 bilion) dengan margin operasi bersih sebanyak 6.7 peratus, meningkat daripada 6.4 peratus yang dijangka pada 2024.
Pulangan ke atas modal yang dilaburkan (ROIC) dalam industri global dijangka mencapai 6.8 peratus pada 2025 daripada 6.6 peratus pada 2024, dengan ROIC tertinggi dijangka terhadap syarikat penerbangan di Eropah, Timur Tengah dan Amerika Latin.
IATA sasar keuntungan bertambah baik di Asia Pasifik
Menurut IATA, seluruh rantau dijangka menunjukkan prestasi kewangan lebih baik dan menghasilkan keuntungan bersih kolektif pada 2025 berbanding 2024.
Keuntungan bersih Asia Pasifik pada 2025 diunjurkan berjumlah AS$3.6 bilion (RM15.91 bilion), mewakili margin keuntungan bersih sebanyak 1.4 peratus, katanya.
IATA berkata Asia Pasifik adalah pasaran terbesar dari segi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) dengan China menyumbang lebih 40 peratus daripada trafik rantau ini.
Pada 2024, RPK meningkat 18.6 peratus, sebahagiannya didorong oleh rangsangan pasaran susulan kelonggaran syarat visa bagi kemasukan ke beberapa negara termasuk China, Vietnam, Malaysia dan Thailand.
“Syarikat penerbangan China mencatat kerugian bersih pada separuh pertama 2024 akibat isu rantaian bekalan, lebihan bekalan dalam pasaran domestik dan langkah mengehadkan kepada 100 kekerapan mingguan dari China ke Amerika Syarikat.
“Asia Pasifik turut mengalami penurunan hasil yang ketara pada 2024 berikutan permintaan yang kukuh dan pertambahan faktor muatan. Peningkatan kecil keuntungan dijangkakan pada 2025,” kata IATA.
Dalam jangka panjang, trafik Antarabangsa Asia Pasifik dilihat meningkat 5.6 peratus secara purata pada 2023-2043, di belakang ASEAN iaitu 6.1 peratus.
Pada tahun depan, trafik penumpang global diunjur menokok 6.2 peratus melebihi paras lima bilion untuk kali pertama kepada 5.2 bilion.
Rantaian bekalan terus memberi kesan kepada prestasi syarikat penerbangan
IATA menjangka masalah rantaian bekalan yang buruk akan terus memberi kesan kepada prestasi syarikat penerbangan sehingga 2025, meningkatkan kos dan mengehadkan pertumbuhan.
Penghantaran pesawat pada 2025 dijangka bertambah kepada 1,802 pesawat berbanding anggaran penghantaran 1,254 pesawat pada 2024.
Bagaimanapun, menurut IATA ia jauh daripada jangkaan awal iaitu 2,293 penghantaran, dengan semakan menurun pada 2025, katanya.
Lantukan pesawat baharu telah mencecah 17,000 pesawat, iaitu merupakan rekod tertinggi.
“Isu rantaian bekalan memberi tekanan kepada syarikat penerbangan dengan kesan tiga kali ganda terhadap perolehan, kos dan prestasi alam sekitar.
"Faktor muatan berada pada paras tertinggi dan sekiranya kita mempunyai lebih banyak pesawat, ia boleh digunakan untuk meraih keuntungan," katanya.
Sementara itu, Walsh berkata kumpulan pesawat lama yang digunakan oleh syarikat penerbangan mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih tinggi, membakar lebih banyak bahan api, dan memerlukan lebih banyak modal untuk memastikan ia terus beroperasi.
"Selain itu, kadar pajakan pesawat telah meningkat melebihi kadar faedah berikutan persaingan sengit dalam kalangan syarikat penerbangan yang menguatkan usaha untuk mencari sebarang kaedah berpotensi untuk mengembangkan kapasiti,” katanya.
Beliau berkata syarikat penerbangan perlu menambah baik lembaran imbangan mereka yang terkesan selepas pandemik, tetapi kemajuan mereka dikekang oleh masalah rantaian bekalan yang perlu ditangani oleh pengeluar.
Menurut Walsh masalah rantaian bekalan yang berterusan turut menyumbang kepada dua perkembangan negatif seperti kecekapan bahan api yang tidak berubah dan lonjakan kos pajakan pesawat.
“Seluruh sektor penerbangan bersatu dalam komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Bagaimanapun, apabila menyentuh mengenai kesesuaian untuk benar-benar mencapai tahap itu, syarikat penerbangan memikul beban terbesar.
“Isu rantaian bekalan adalah contoh yang jelas. Pengeluar tidak memberi sokongan kepada pelanggan syarikat penerbangan dan memberi kesan langsung untuk melambatkan usaha syarikat penerbangan mengehadkan pelepasan karbon mereka.
"Sekiranya pengeluar pesawat dan enjin dapat menyelesaikan masalah mereka dan mengotakan janji, kita akan mempunyai kumpulan pesawat yang lebih jimat bahan api," kata Walsh.
-- BERNAMA