Industri sawit mampu sumbang cukai luar biasa sehingga RM500 juta pada 2021 - Ahmad Jazlan
Firdaus Azil
November 30, 2020 15:46 MYT
November 30, 2020 15:46 MYT
BANGI: Kerajaan dijangka menerima keuntungan levi luar biasa atau 'durian runtuh’ (windfall tax) sekitar RM348 juta daripada industri kelapa sawit sekiranya harga minyak kelapa sawit (MSM) kekal melebihi paras RM3,000 sehingga tahun hadapan, seperti yang direkodkan sejak Jun tahun ini.
Pengerusi Lembaga Minyak Kelapa Sawit (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sekiranya paras harga MSM di antara RM3,000 hingga RM3,500, tidak mustahil levi yang bakal diterima mampu mencecah hingga RM500 juta.
Namun, jelas Ahli Parlimen Machang itu lagi, beberapa faktor perlu diambil kira untuk mencapai kadar kutipan tersebut termasuk pengeluaran, permintaan serta keadaan cuaca yang baik dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jangkaan windfall tax RM385 juta ini pun kerana peningkatan harga MSM yang bermula pada Jun tahun ini. Dalam kegawatan ekonomi, industri sawit dapat terus membantu kerajaan (untuk menambah pendapatan negara). Jadi amat penting untuk industri sawit terus diberi perhatian semua pihak,” katanya lagi.
Pada 2019, jumlah levi durian runtuh yang diterima dari sektor berkenaan hanyalah sekitar RM256,000 sahaja.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, eksport minyak sawit Malaysia telah meningkat kepada 1.67 juta tan pada bulan Oktober 2020, berbanding 1.61 juta tan pada September 2020, peningkatan sebanyak 3.8 peratus.
Beliau berkata, peningkatan eksport komoditi berkenaan adalah kesan peningkatan permintaan dari India, Nigeria, Ghana, Iran, Pakistan dan Jepun.
“India mengimport sebanyak 423,763 tan minyak sawit pada Oktober 2020, berbanding 374,553 tan pada bulan sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 13.1 peratus.
“Peningkatan import minyak sawit dari india didorong oleh permintaan yang tinggi bagi memenuhi keperluan tempatan, dan meningkatkan stok dalam negara sebagai persediaan menyambut Deepavali pada bulan November,” katanya lagi.
Ahmad Jazlan berkata, faktor lain yang turut mempengaruhi kenaikan komoditi berkenaan ialah pengeluaran minyak sawit yang rendah, serta peningkatan harga minyak pesaing seperti harga minyak kacang soya (SBO).
“Harga MSM dan harga (SBO) bergerak seiringan di pasaran. Peningkatan harga SBO akan mempengaruhi peningkatan MSM dan begitulah sebaliknya.
“Harga purata SBO telah meningkat kepada USD782 setan pada tempoh Januari – Oktober 2020, berbanding USD756 setan pada tempoh yang sama untuk 2019. Peningkatan harga SBO adalah kesan musim kemarau (El Nino) yang melanda negara pengeluar komoditi berkenaan,” katanya lagi.
Selain itu, Ahmad Jazlan berkata, eksport minyak sawit Malaysia ke China turut meningkat sebanyak 20.5 peratus bagi tempoh antara Januari hingga Oktober tahun ini, kepada 2.28 juta tan, dengan nilai anggaran RM5.97 bilion, berbanding 1.89 juta tan (RM3.90 bilion) bagi tempoh yang sama untuk tahun sebelumnya.
“China akan terus mengimport minyak sawit untuk permintaan domestik dan memenuhi pengeluaran produk hiliran untuk tujuan eksport.
“Di samping itu, perjanjian antara Malaysia dan China untuk meningkatkan pengimportan minyak sawit Malaysia ke China sebanyak 1.7 juta tan bermula tahun 2020 hingga 2023, juga akan membantu mengukuhkan harga pasaram minyak sawit Malaysia,” jelasnya lagi.
#Ahmad Jazlan Yaakub
#Pengerusi MPOB
#minyak sawit mentah
#MSM
#cukai
#minyak
#harga minyak
#Malaysia
#ekonomi
#El Nino
#Parlimen
#kerajaan