Industri perbankan perlu kekal berdaya saing - PM Anwar
Irwan Muhammad Zain
Februari 19, 2024 19:57 MYT
Februari 19, 2024 19:57 MYT
KUALA LUMPUR: Industri perbankan negara digesa kekal berdaya saing untuk tangani kerumitan dan percanggahan pada era pasca normal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada era pasca normal, pengurusan institusi kewangan perlu berdepan cabaran yang sangat pantas.
Beliau juga menjelaskan, biarpun berdepan cabaran, institusi kewangan menjadi tonggak sistem ekonomi negara kerana ia akan memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur.
"Saya tegaskan sekali lagi bahawa, tonggak dalam sistem ekonomi negara itu juga institusi kewangan.
"Kalau institusi kewangan itu gagah perkasa dan diyakini ia akan membantu meningkat keyakinan rakyat dan pelabur sama ada domestik atau luar negara," katanya ketika berucap melancarkan program Memperkasakan PKS, 'myimpact SME Hub' di Menara Maybank, pada Isnin.
Anwar juga menjelaskan institusi kewagan seharusnya memikul tanggungjawab bersama-sama kerajaan untuk memastikan kejayaan reformasi ekonomi yang diketengahkan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.