Industri komunikasi dan multimedia sumbang 8.1 peratus dalam modal pasaran Bursa Malaysia
Astro Awani
Julai 24, 2023 16:30 MYT
Julai 24, 2023 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Industri komunikasi dan multimedia (C&M) menyumbang kepada RM140.38 bilion atau 8.1 peratus daripada nilai keseluruhan modal pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM1,736.21 bilion setakat 31 Disember lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa memaklumkan angka tersebut menunjukkan peranan penting industri tersebut dalam menjana pertumbuhan ekonomi digital dan pembangunan ekosistem yang pesat.
“Kewujudan industri C&M dalam Bursa Malaysia melambangkan kepentingannya sebagai kuasa pemandu di sebalik kemajuan teknologi dan transformasi digital.
“Melalui penyediaan saluran komunikasi dan multimedia yang efisien, industri ini berperanan sebagai pemangkin bagi pelbagai sektor untuk menjana kuasa ketersambungan dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Kelas Master Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bergabung (CTPR) 2023 di sini, hari ini.
Sementara itu, kesemua peserta CTPR Master Class diharapkan akan beroleh kemahiran, kecekapan dan pengetahuan yang baharu bagi melengkapkan diri mereka dengan pelbagai cabaran.
Menyentuh mengenai CTPR, program itu membawa perbincangan penting mengenai Dasar Bertumpu dan Peraturan Kolaboratif, Pengurusan Spektrum, Teknologi dan Rangkaian Muncul, Perniagaan Digital dan Ekonomi serta Negara Digital Pintar, Bandar dan Komuniti.
Menurut beliau, usaha bersama MMU, Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih (GSMA) London dan SKMM itu dapat menangani keperluan komunikasi global serta industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan peranti mudah alih.
“Program ini menyediakan platform rangkaian yang sangat bagus bagi pengamal industri untuk berkongsi fikiran dan mengembangkan idea mereka dengan personaliti terkemuka di dalam dan luar negara,” jelasnya.
Kira-kira 60 peserta dari industri telekomunikasi menghadiri kursus lima hari itu yang bermula hari ini sehingga 28 Julai ini.