Industri agrikultur: Syarikat tempatan, Taaveekun, tembusi pasaran Thailand

Astro Awani
Disember 6, 2024 06:40 MYT
Md Fadzilah berkata, pensijilan itu bukan sahaja menjamin perlindungan pengguna daripada produk tidak berkualiti tetapi turut memperkukuhkan daya saing Malaysia dalam sektor pertanian global. - Foto Taaveekun
KUALA LUMPUR: Syarikat baja terkemuka tempatan, Kumpulan Taaveekun, terus mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila pusat jualannya di Hatyai, Thailand, meraih pensijilan Q Shop di bawah Projek Kedai Faktor Pengeluaran Pertanian Berkualiti daripada Jabatan Pertanian Thailand.
Pengiktirafan itu diterima oleh anak syarikatnya, Taaveekun Agro Thai, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen syarikat itu dalam mematuhi etika perniagaan yang tinggi dalam penyediaan produk berkualiti kepada pasaran.
Menurut pengasas dan presiden Kumpulan Taaveekun, Md Fadzilah Ariffin, pensijilan itu bukan sahaja menjamin perlindungan pengguna daripada produk tidak berkualiti tetapi turut memperkukuh daya saing Malaysia dalam sektor pertanian global.
"Program Q Shop meningkatkan standard pusat jualan dengan menawarkan produk berkualiti tinggi, yang menjadi penyelesaian langsung kepada cabaran petani berkaitan faktor pengeluaran. Kejayaan ini membuka peluang lebih luas untuk eksport dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju produk agrikultur yang berkualiti," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Md Fadzilah turut menjelaskan manfaat yang dinikmati pusat jualan atau kedai yang menerima pensijilan Q Shop, termasuk pembaharuan lesen lebih teratur, analisis sampel produk secara percuma untuk pemeriksaan kualiti awal, serta penggunaan simbol Q Shop sebagai jaminan standard tertinggi.
"Selain itu, pusat jualan yang mematuhi program ini juga mendapat akses kepada dokumen akademik dari Jabatan Pertanian Thailand dan sokongan teknikal daripada persatuan baja serta pengendalian bahan berbahaya.
"Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Taaveekun, malah memperkukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia dalam pasaran serantau, sekali gus menonjolkan keupayaan negara dalam membangunkan produk pertanian yang memenuhi piawaian global," jelasnya.
Dalam pada itu, Md Fadzilah memberitahu, pihaknya bercadang untuk umlah pusat jualan dan kedai Q Shop daripada 1,893 kedai ketika ini kepada 2,000 dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Kumpulan Taaveekun turut melakar sejarah apabila dipilih sebagai penerima Pencapaian Kecemerlangan Profesional di Indonesia yang diberikan kepada Md Fadzilah.
Anugerah itu diberikan oleh Kamar Entrepreneur Indonesia (KEIND) dalam satu majlis di Jakarta yang menghimpunkan usahawan kecil, sederhana dan besar dalam satu forum kerjasama.
Mengulas lanjut, Md Fadzilah memberitahu, pensijilan Q Shop tidak mudah diperolehi kerana syarikatnya perlu memenuhi kriteria ketat seperti kursus, pemeriksaan secara rawak dan kebersihan premis yang ditetap oleh pihak berkuasa pertanian negara jiran itu.
Katanya, pusat jualan atau kedai yang memiliki Q Shop mesti mempunyai penyelia jualan dengan ijazah sarjana muda dalam bidang pertanian atau ijazah sarjana muda dengan sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman menjual dalam pengeluaran pertanian.
Selain itu ujar beliau, kakitangan premis itu juga perlu mempunyai sijil vokasional yang lebih tinggi dalam pertanian dengan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman.
"Kriteria lain adalah kakitangan yang mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun pengalaman dalam menjual faktor pengeluaran pertanian yang telah disahkan oleh persatuan terlibat dalam baja, bahan berbahaya dan varieti tumbuhan.
"Justeru, dengan pensijilan Q Shop ini, ia secara tidak langsung akan membantu menghapuskan kedai input pertanian yang menjual produk substandard dan berkualiti rendah dalam negara,” katanya.
Selain pusat jualan di Hatyai, Taaveekun Agro Thai juga memiliki kedai pengedar yang terletak di Yala, Pattalung dan Satun selain sedang bekerjasama dengan tiga koperasi di wilayah Selatan itu dalam usaha mengembangkan pasaran.
Mengulas lanjut, Md. Fadzilah berkata, sebaik sahaja pusat jualan di Hatyai beroperasi pada Mei lalu, pihaknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan sijil Q Shop dan kelulusan memperolehnya diterima tiga bulan kemudian.
"Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan usaha keras seluruh warga kerja syarikat, malah menunjukkan sokongan padu dan luar biasa daripada pelanggan yang setia bersama kami.
"Ia juga satu pencapaian hebat sekali gus membuktikan keunggulan produk jenama Taaveekun dalam arena industri pertanian menerusi penghasilan kandungan produk berkualiti untuk dikongsi dengan orang ramai,” katanya.
Beliau turut berkongsi rahsia kejayaan mencipta nama di luar negara kerana memiliki hubungan baik dengan pemain industri Thailand selain kepercayaan pelanggan ke atas produk yang berkualiti tinggi.
Ketika ini, Taaveekun yang beribu pejabat operasi di Kota Sarang Semut dan kilang pengeluaran di Bukit Kayu Hitam di Kedah memasuki pasaran secara serius di Hatyai sejak lima tahun lalu.
Tahun lalu, jualan runcit di sana mencecah RM4 juta setahun manakala eksport baja menerusi syarikat bersekutunya di Bangkok ke Malaysia mencecah hampir RM40 juta.
#usahawan #SME #baja malaysia #pertanian
;